HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mei 2011

Kampung Tambatuon di Sabah berjuang pertahankan hak untuk hidup

Oleh Dr Edwin Bosi


Rombituon dalam dialek Dusun membawa makna bintang-bintang. Apabila peneroka terawal tiba di lembah ini, mereka ternampak jutaan bintang bergemerlapan sebaik siang bertukar ke malam. Kemudian mereka ketahui bahawa ramai lagi yang sudah menetap di situ; sebanyak bintang-bintang di angkasa. Mereka terpukau dengan kecantikannya lalu mula menetap dan menamakan kawasan itu sebagai Tambatuon. Asal Tambatuon berbalik kepada beratus tahun dahulu, masyarakat yang asalnya dari Nunuk Ragang dan Bundu Tuhan di tanah tinggi Ranau. Mereka percaya Tambatuon sudah melepasi 17 generasi yang mana hanya cuma lapan generasi sahaja dapat dijejaki. Kaum Dusun menguasai kawasan tersebut walaupun terdapat kaum-kaum lain yang sudah memajmukkan lagi perkampungan ini seperti Cina, Murut Lundayeh, Iban dan Dusun-Timor.

Air sungainya sejuk, bersih, tenang, dan jernih sehingga boleh nampak kocakan-kocakan air oleh ikan-ikan yang bebas hidup. Sungainya dengan aroma hutan tropika menyejukkan mata yang memandang batu-batu kelikir yang cantik. Bila mata mengikut lentok sungai, kita akan ternampak sebuah bukit, dikenali sebagai Saduk Saduk (Nungkok) dan jauh lebih ke atas lagi, kelihatan Gunung Kinabalu, gunung ke-dua tertinggi di Asia Tenggara. Untuk seketika, kita akan tersedar yang air yang mendahului kita itu bermula dari puncak Gunung Kinabalu.

Terdapat cukup tanah pamah untuk menuai padi, makanan ruji kaum Dusun dan sudah tentu kebanyakan orang Asia. Dengan karbohidrat bersama ubi kayu dan jagung, protein mereka terdiri dari ikan, ayam, lembu, kerbau dan babi. Pernah suatu ketika babi hutan dan rusa sangat banyak dan berkeliaran di merata tempat. Mereka buatkan benteng menggunakan batu-batu untuk tanah ladang mereka yang mana terdapat beras wangi, dan sayur-sayuran yang segar. Mereka juga mengambil pokok-pokok di situ untuk dijadikan rumah, dan sebagai ganti, mereka tanam pula pokok-pokok getah. Dengan kekurangan kayu-kayan, kebanyakan rumah sekarang dibina dengan blok simen sementara untuk kayu-kayan pula hanya digunakan untuk memasak.

Dari 27 km lebuh raya Kota Belud-Ranau, 5 km jalan berbatu dan berlecah, akan membawa kita ke perkampungan Tambatuon. Jalan itu melalui permatang yang akan beransur-ansur membawa anda ke sebuah lembah. Sungai Kadamaian mengalir diantara dua lembah itu. Lebih kurang 3 km dari persimpangan jalan, permatang akan menjadi lebih sempit sehinggalah kepada dua persimpangan. Di titik paling sempit di mana dua permatang bertemu inilah di mana Empangan Kadamaian dicadang akan dibina. Empangan itu bakal menenggelami Tambatuon dan hutan sekeliling termasuk pokok-pokok getah. Alasan untuk membina empangan itu kononnya kerana mahu mewujudkan projek penanaman padi oleh kerajaan di Kota Belud.

Cadangan pembinaan empangan telah mengejutkan penduduk-penduduk Tambatuon. Setelah berusaha keras membangunkan perkampungan syurga mereka, cadangan pembinaan empangan itu kelihatan tidak adil. Penduduk di situ sudah memiliki tanah tersebut. Mereka sudah menghabiskan keringat, wang dan masa yang banyak untuk hidup selesa di situ sejak sekian lama. Menurut bekas Ketua Kampung Tambatuon, Singkui Tinggi, “selama 14 generasi sudah menetap di Tambatuon. Ini adalah tapak bersejarah, rumah kami dan kami akan pertahankan sehabis-habisnya.”

Singkui adalah mangsa pertama menentang cadangan membina empangan itu dan akhirnya beliau sendiri telah dipecat sebagai KetuaKampung. Tetapi beliau tidak keseorangan dalam pertarungan ini, malah protes beliau dan seluruh penduduk turut sama bergabung membantah dengan mengadakan beberapa memorandum, selain notis di pintu masuk kampung mereka. Seperti biasa dalam perkara begini, pembangkang dan NGO-NGO turut sama menyokong mereka.

Sangat menyedihkan bila Tambatuon dahulu kala yang pernah diliputi hutan kerana penduduk-penduduk awal yang mengamalkan agama pagan takut memasuki ke dalam hutan kerana percaya banyak “penunggu” atau roh-roh liar yang menetap di dalam hutan. Ini mungkin juga salah satu sebab kenapa penduduk berhijrah ke kawasan tanah datar. Mereka membuat ladang di situ dan hasilnya di jual di pasar KotaBelud, yang memerlukan keberanian dengan menongkah arus deras sungai menggunakan rakit buluh. Mereka juga terpaksa berjalan kaki sejauh 32 km membawa bersama pelbagai barang dan bekalan makanan.

Pernah suatu ketika dahulu penyakit campak hampir mempupuskan penduduk Tambatuon. Bagi mereka, itu adalah angkara syaitan. Menurut Singkui, kejadian itu terlalu mengerikan kerana orang yang mengebumikan mayat pada pagi hari, akan mati di kemudian hari. Akhirnya mereka berpakat untuk membuang dan melonggokkan mayat di sebuah pondok sahaja.

Perasaan teruja akan hadir bila mendengar sejarah Tambatuon. Perkampungan itu bermula di sebuah cerun bukit dan di situ lah “batu sumpah” di tanam oleh orang putih dan penduduk tempatan. Ia semacam satu perjanjian. Pada 1940-an seorang perunding British bernama “Tuan Impang” dan ketua penduduk KK Tunggal menanam “Batu Sumpah” sebagai peringatan dan tanda untuk tidak menceroboh dan mengganggu perkampungan sesiapa.

Wakil dari kampung-kampung berdekatan menyaksikan majlis bersejarah tersebut di mana seekor kambing dikorbankan dan darahnya diisikan di dalam lubang di mana batu itu ditanam. Menurut lagenda, sesiapa yang melanggar sumpah ini akan mengakhiri hayatnya seperti kambing itu juga. Dan kepercayaan ini masih kekal sehingga sekarang. Bagaimanapun, penduduk kampung pula sangat baik hati untuk menolong pelancong atau orang luar melawat tapak asal Tambatuon. Ia mengambil masa lebih kurang sejam untuk merentasi cerun-cerun sebelum sampai ke tempat bersejarah itu.

Ketika pendudukan Jepun, penduduk kampung ini juga tidak terlepas dari ancaman tentera jepun. Menurut Singkui, penjajahan itu menunjukkan sisi gelap manusia. Sebagai masyarakat yang biasa, yang berada dalam keadaan aman dan berbaik hati, kekejaman Jepun tak pernah dilupakan. Singkui akan menerangkan bagaimana orang ramai ditarik hidung dan dibawa ke sekeliling kampung, seperti kerbau. Tentera Jepun yang menduduki perkampungan itu kerana mahu mencari orang kulit putih.

Aktiviti ekonomi penduduk Tambatuon bermula sekitar 1959 bila kebanyakan penduduk mula menganut Kristian dan dengan cara itu mereka berjaya mengatasi ketakutan terhadap “roh-roh liar” yang tinggal di hutan. United Sabah National Organisation (USNO) membantu mereka dengan menanam benih getah dan membuka tanah untuk menuai padi. USNO turut membina jalan raya yang memudahkan lagi akses untuk penduduk ke bandar, selain sebuah sekolah pada 1966 yang mana sehingga sekarang penduduk Tambatuon berbangga dengan graduan 22 ijazah dan 51 diploma. Sehingga 2010, penduduk telah berjaya membangunkan 300 ekar padi, dan 1,600 ekar pokok getah, selain buah-buahan dan tanaman kontan lain. Mereka telah berjaya melaksanakan sistem “tagal” di mana ikan dari sungai akan dituai secara berkelompok pada masa-masa tertentu.

Jika empangan dibina, banjir semestinya akan memusnahkan segala pokok-pokok getah, buah-buahan, tanah padi, ternakan, rumah-rumah dan gereja. Kewujudan empangan akan memusnahkan tamadun mereka, sejarah mereka, ingatan mereka, masa depan mereka dan kehidupan mereka yang mana selama ini mereka telah bekerja keras untuk keluar dari kemiskinan yang terperangkap. Mereka juga telah berusaha keras memberi pendidikan terbaik kepada anak cucu supaya menjalani kehidupan luar. Mereka sentiasa bekerja dan menyokong kerajaan hari ini sehingga sekarang bila kerajaan membelot mereka untuk membina sebuah tasik. Satu kejutan melampau yang menyakitkan dan menderitakan.

Wakil kerajaan Sabah di Kadamaian secara terbuka berkata bahawa penduduk Tambatuon terlalu mementingkan diri dan hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja. Dia berpendapat penduduk harus berkorban untuk tanah air mereka dengan menyokong usaha membangungankan empangan yang akan memberi manfaat kepada ribuan rakyat Sabah. Bagi penduduk Tambatuon, kenyataan sedemikian dari ahli politik yang mereka sokong itu sangat tidak berasas. Isu tersebut semakin keruh hari demi hari dan peyelesaiannya hanya kedengaran bila satu pihak mengalah.

Notis telah dipamer di pintu masuk perkampungan mereka. Penduduk tak mahu dan tak membenarkan sebarang penyelidikan atau tinjauan dijalankan. Mereka dengan jelas akan berkorban nyawa mereka untuk mempertahankan tanah mereka. Dalam masa sama, ia terletak pada keputusan politik dan hanya mahkamah akan menentukan penyelesaian mereka. Sekali lagi, hak tanah adat Bumiputera (NCR) akan berbangkit semula.

Hari ini Tambatuon penempatan ceria kepada lebih 846 penduduk yang mengandungi 193 keluarga dalam 103 rumah dan merangkumi tanah ladang seluas 5,300 ekar. Kampung ini mempunyai gereja, tadika, sekolah rendah, rumah tumpangan, dewan mini, jambatan-jambatan gantung, bekalan air dan elektrik. Kampung ini juga adalah rumah kepada burung kelicap, belalang patung, dan pohon-pohon bunga.

Kekuatan ekonomi Tambatuon adalah getah. Penduduk Tambatuon telah sasarkan di mana setiap keluarga akan mendapat sekurang-kurangnya 5,000 pokok untuk dijaga. Mereka berharap untuk menanam padi wangi dua kali setahun kerana ia boleh menjadapat sambutan dan murah di Pekan Nabalu terutamanya kepada pelancong asing dari Hong Kong. Mereka mahukan jaringan jalan raya yang menghubungkan terus dengan tanah ladang mereka dan mahukan lebih rumah tumpangan untuk pelawat dan pelancong. Pada masa akan datang, mereka akan melahirkan generasi yang lebih mahir dan berilmu yang dapat menyumbang secara positif kepada negara.

Manakala golongan tua tiada lagi pilihan kecuali cuba hidup dan terus melawan dan mati untuk kampung yang mana banyak sumbangan telah mereka keluarkan, sama ada dengan darah atau peluh. Singkui dan lain-lain sudah nampak aspek negatif empangan di Moyog. Mereka melihat bagaimana penduduk-penduduk kampung terjejas dengan janji kosong kerajaan dalam soal kemudahan perumahan dan tanah untuk pertanian. Golongan muda mempuyai pilihan untuk keluar tetapi yang mengejutkan, ramai graduan memilih untuk menetap dan bekerja mengusahakan pokok-pokok getah dan tanah ladang mereka. Ini ialah semangat yang kita mahukan dari generasi muda.

Nampaknya kerajaan BN hari ini gagal memperbaiki apa yang USNO telah mulakan untuk penduduk Tambatuon. Sementara mahkamah lambat laun akan menyelesaikan perkara ini, satu-satunya harapan untuk penduduk Tambatuon terletak padakuasa misteri “Batu Sumpah”.

Tiada ulasan: