KUALA LUMPUR – Jumlah pasangan Muslim yang bercerai menunjukkan peningkatan yang membimbangkan iaitu 27,116 kes pada 2009 berbanding 22,289 kes tahun sebelumnya.
Jumlah kes perceraian pasangan bukan Muslim pula menunjukkan penurunan iaitu 3,633 kes pada 2008 berbanding 2,938 kes tahun 2009, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie hari ini.
“Bagaimanapun kita tak dapat nafikan bilangan ini adalah jumlah pasangan yang bercerai secara formal atau rasmi.
“Terdapat juga pasangan yang berpisah atau bercerai tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu tidak mendaftarkan perceraian berkenaan,” katanya dipetik laporan Bernama Online.
Heng berkata, kerajaan melalui kementerian itu telah mengambil inisiatif menggubal Dasar Keluarga Negara (DKN) pada Mac lepas bagi memantapkan lagi institusi kekeluargaan di negara ini.
Kata beliau, DKN merupakan panduan utama kepada semua pihak supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam perundangan, dasar, prosedur, peraturan dan program pembangunan secara keseluruhan.
Dalam pada itu, katanya, perceraian ibu bapa menjadi faktor utama berlakunya kes penderaan kanak-kanak yang menunjukkan trend peningkatan di negara ini.
“Perceraian yang tak diurus dengan baik akan memberi implikasi kepada kanak-kanak seperti berlakunya pengabaian, peminggiran dan penderaaan,” kata Heng.
Kata Heng lagi, ini kerana pendera iaitu ibu atau bapa biasanya rasa tertekan dan melepaskan geram mereka kepada anak-anak.
Selain itu, kata beliau, anak-anak menjadi mangsa perebutan antara ibu dan bapa dan keadaan akan menjadi lebih buruk lagi sekiranya pihak kedua-dua belah keluarga turut campur tangan.
Kes penderaan kanak-kanak di negara ini yang dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu meningkat kepada 2,961 kes berbanding 2,789 kes pada 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan