HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2011

Selangor arah henti kerja projek pangsapuri PSJ1

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya mengeluarkan perintah pembekuan kerja pembinaan projek pangsapuri di PJS1 kepada pemajunya Peter’s Brickworks Sdn Bhd sehingga dua isu utama diatasi.

Arahan itu berkuat kuasa mulai esok sehingga masalah penempatan peneroka bandar dan sekolah diselesaikan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat memandangkan masalah sekolah, penempatan penduduk dan banjir di kawasan tersebut masih tiada penyelesaian sejak 2003.

“Kita perlu melihat semua isu yang terlibat supaya satu penyelesaian menyeluruh boleh dicapai,” kata beliau lagi.

Peneroka bandar di kawasan PJS1 telah ditempatkan di rumah panjang semenjak 2003 untuk memberi laluan kepada pembangunan atas tanah persendirian oleh syarikat Peter’s Brickworks yang mana mereka juga telah dijanjikan rumah.

Projek berkenaan berdepan masalah dan tidak boleh diteruskan apabila penduduk sekitar tapak pembinaan memfailkan bantahan ke mahkamah.

Namun, baru-baru ini mahkamah telah membenarkan syarikat berkenaan meneruskan projek meskipun ada tiga keluarga setinggan yang enggan berpindah kerana masih lagi tidak memiliki rumah yang dijanjikan.

Justeru kata Menteri Besar, masalah begini berlaku kerana polisi setinggan sifar oleh pentadbiran terdahulu telah gagal menyelesaikan masalah penempatan setinggan secara menyeluruh.

“Dengan hanya membina rumah panjang tidak akan menyelesaikan masalah. Rumah panjang yang sepatutnya untuk sementara akhirnya diduduki bertahun-tahun dan apabila masalah lain timbul, ia menjadi semakin rumit,” kata Khalid.

Menteri Besar berkata, kerajaan Selangor perlu membuat perancangan yang teliti bagi memastikan isu setinggan di negeri ini diselesaikan dengan baik dan memberi manfaat kepada kepada semua pihak terutama rakyat berpendapatan rendah.

Dalam isu PJS1, tegas Khalid, polisi setinggan sifar bukan sahaja tidak menyelesaikan isu penempatan peneroka bandar tetapi juga menidakkan hak penduduk tempatan untuk memiliki sekolah.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan bekerjasama dengan semua pihak supaya peneroka bandar PJS1 mendapat rumah mampu milik seperti yang dijanjikan.

“Kita tidak menghalang projek-projek pembangunan kerana ia akan merangsangkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

“Pada masa yang sama, kita juga cuba menyeimbangkan kepentingan ekonomi dengan kepentingan rakyat,” kata Menteri Besar.

Tiada ulasan: