Aidila Razak
Selepas melalui karenah birokrasi selama dua hari, bedah siasat kedua ke atas jenazah remaja Johari Abu Bakar, yang ditembak mati oleh polis sepatutnya dijalankan pada jam 12 tengahari tadi.Namun semakan dengan rumah mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) pada jam 12.30 tengahari tadi mendapati tiada bedah siasat dijalankan hari ini dan tidak ada juga sebarang yang dijadualkan hari ini.
Adalah dipercayai bedah siasat ke atas remaja yang sepatutnya meraikan hari jadi ke-17 nya pada bulan depan ditangguhkan lagi kerana karenah birokrasi.
Menurut peguam keluarga mangsa, Latheefa Koya, UMMC sebelum ini memaklumkan kepadanya bahawa bedah siasat akan dijalankan hari ini oleh Dr Karunakaran Mathiharan.
Katanya, UMMC akhirnya bersetuju menjalankan bedah siasat selepas pengerusi Bahagian Hak Asasi, Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Thong Kok Wai, mengesahkan beliau akan bertindak sebagai pemerhati bebas.
Latheefa menjelaskan bahawa bedah siasat kedua tidak dapat dijalankan semalam kerana UMCC enggan berbuat demikian tanpa kehadiran pemerhati bebas.
Syarat itu diarahkan oleh Mahkamah Tinggi atas permintaan ibu mangsa.
Pada Rabu lalu, jenazah Johari, yang mati pada 13 Mei dibiarkan tanpa diurus untuk beberapa jam kerana UMCC enggan menerima dan menempatkannya di rumah mayat selagi beberapa borang tidak diisi dan diselesaikan.
Latheefa mendakwa terdapat tanda-tanda mayat itu mulai reput apabila ia akhirnya ditempatkan di bilik sejuk dengan anggota keluarga pula berkata wajah anak mereka tidak dapat dikenali.
Johari, seorang pelajar sekolah menengah yang tercicir dan kemudiannya menjalankan kerja-kerja am ditembak mati apabila beliau didakwa melepaskan tembakan ke arah polis pada 7 Mei lalu.
Polis juga mendakwa remaja berkenaan sedang bersembunyi di sebuah hotel bajet di Dengkil setelah mencuri Toyota Alphard di Kelana Jaya.
Keluarga mangsa bagaimanapun curiga dengan punca kematian anak mereka dan mendakwa tubuhnya penuh dengan kesan lebam serta lengannya patah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan