HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mei 2011

NKRA BELB FATAMORGANA DI PADANG PASIR?



Oleh : MUTALIB M.D

PROGRAM Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dijanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bertujuan untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke kampung tradisional di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negara, merupakan kaedah terbaik mengatasi masalah prasarana di luar bandar.

Namun program yang dilaksanakan gagal menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan elektrik yang terlalu meruncing di luar bandar dan seringkali dipolitikkan sehingga tidak mencapai sasaran; saling tak tumpah seperti fatamorgana (illusi) di gurun nan tandus.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu berkata, kaedah penyelesaian elektrik di luar bandar melalui KKLW tidak professional kerana hanya melalui program ‘Anak Angkat’ iaitu membina kemudahan asas dan menyerahkannya kepada pihak lain untuk dikendali dan diselenggara.

“Inilah yang dikatakan NKRA yang tenat dan wajar dikaji semula oleh Kabinet Malaysia agar menumpukan kepada keboleh tahanan sistem bekalan elektrik bagi mengatasi kemelut bekalan elektrik luar bandar di abad ke 21 dengan teknologi masa hadapan,” kata Patrick yang kesal KKLW masih menggunakan teknologi abad ke 18.

Menurut Patrick, KKLW bukanlah Jabatan Kejuruteraan dan menterinya pula tidak mempunyai know-how atau jurutera yang bertauliah dan adalah mustahil mengetahui menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Sabah melalui kaedah yang dilaksanakan sekarang ini.

“Prasarana kelas keempat yang dibuat KKLW untuk penduduk luar bandar adalah pembohongan terbesar Kerajaan Barisan Nasional kerana telah membelanjakan berbilion ringgit di Sabah untuk prasarana Gajah Putih tetapi terabai kerana masalah penjanaan tidak diselesaikan,” kata Patrick yang mendesak satu kajian menyeluruh kerana KKLW gagal menjalankan fungsinya di Sabah.

Kata Patrick, beliau agak terkilan kerana rakyat di luar bandar masih gagal mendapat bekalan elektrik 24 jam dan ada di sesetengah kawasan mendapat elektrik kurang daripada 6 jam sehari disebabkan bekalan elektrik tidak mencukupi sehingga terpaksa mengalami catuan yang rigid.

Untuk apa berbelanja berbilion ringgit bagi membina prasarana bekalan elektrik tetapi kata Patrick, selepas itu rakyat atau pengguna hanya menjadi pemerhati tiang elektrik kerana gagal mendapat bekalan elektrik disebabkan bekalan grid tidak mencukupi.

“Yang untung berlipat ganda hanya kontraktor dan pembekal tiang. Bayangkan kos pemasangan tiang elektrik RM1 juta bagi satu kilometer. Jika Kampung Rundum yang terletak 200 kilometer daripada Grid, maka kos pemasangan tiang menelan belanja RM200 juta, bagaimana dengan kos lain?” tanya Patrick yang menjelaskan rakyat di Rundum terpaksa menunggu 100 tahun untuk mendapat bekalan elektrik daripada Grid, sedangkan mereka juga mempunyai satu undi, tetapi tidak mendapat bekalan elektrik.

Tambahan pula kata Patrick, projek BELB akhirnya menjadi projek gajah putih kerana rakyat di luar bandar tidak mempunyai pendapatan tetap dan di kebanyakan kawasan tiang elektrik hanya menjadi perhiasan kerana penduduk kampung tidak mampu membayar bil setelah bekalan elektrik ke rumah mereka dipotong.

“Mereka bukan menolak pembangunan tetapi projek BELB melalui sistem grid yang ditawarkan kepada mereka di luar kemampuan. Mereka meminta perodua kancil tetapi kerajaan memberikan mereka Bently (kereta mewah),” kata Patrick sebagai analogi.

Kerajaan BN kata Patrick adalah yang terbaik setakat ini tetapi KKLW gagal memacu pembangunan luar bandar Sabah sehingga wang yang dilaburkan di Sabah hanya dinikmati oleh segelintir kumpulan; sama ada kroni atau kontraktor sahaja, sehingga rakyat kebanyakan melemparkan tuduhan liar Kerajaan BN gagal menunaikan janji yang dilakar sejak 1994.

Sekalipun KKLW cuba melaksanakan aplikasi teknologi hijau, namun kata Patrick, agenda tersembunyi menyebabkan mereka menggunakan ‘teknologi hitam’ yang berbahaya kepada manusia ketika negara mempunyai Kementerian Teknologi, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA).

“Bukankah lebih baik jika KKLW beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui tanpa kos penyelenggaraan yang tinggi dan mesra alam seperti penggunaan bateri lithium polymer daripada bateri yang mahal iaitu bateri asid plumbum,” tegas Patrick yang kesal kerana menteri yang berasal daripada Sabah gagal memahami aspirasi rakyat Sabah, sebagaimana yang dinikmati oleh penduduk Kampung Katubu dan Sumambu di Tenom.

Kata Patrick, walaupun, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan tabung Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) sejak tahun 1998 di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) kini KeTTHA; namun dana akaun ini disumbangkan oleh semua Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang beroperasi di Semenanjung Malaysia.

“60% daripada tabung akaun ini dibelanjakan bagi melaksanakan program BELB di bawah KKLW, TNB dan sebagainya, tetapi hasilnya kita masih Zero,” kata Patrick yang kesal kerana hanya lebihan peruntukan berkenaan akan dipindahkan ke Sabah dan Sawarak.

Dalam pada itu, mengikut siasatan Sabahkini.net, KKLW telah melantik syarikat berikut untuk menjalankan Projek BELB di Sabah bagi April 2011;

1.Rumakaya Sdn.Bhd RM 41,736,809.77

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Satu (1) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka dan Bina (KKW.T.1/2011-18 Bulan)

2. Light Speed Electrical Sdn Bhd RM50,000,000.00

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Dua (2) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka dan Bina (KKW.T.2/2011-18 Bulan)

3. Emas Ramai Sdn Bhd RM46,479,946.70

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Tiga (3) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka dan Bina (KKW.T.3/2011-18 Bulan)

4. Ternama Sabah Sdn Bhd RM55,864,389.65

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Empat (4) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka dan Bina (KKW.T.4/2011-72 Minggu)

5. Bumi Handal Sdn Bhd RM45,212,680.00

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Lima (5) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka dan Bina (KKW.T.5/2011-18 Bulan)

6. Akif Jaya Sdn Bhd RM53,303,701.79

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sambungan Talian Grid Enam (6) Negeri Sabah Tahun 2011-2012 Secara Reka dan Bina (KKW.T.6/2011-72 Minggu)

Kini Tender KKLW.T.67/2011 bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hidrid Fasa II di Pulau Banggi, Sabah secara reka dan bina sedang ditawarkan sehingga 8 Jun 2011, namun masih menggunakan kaedah yang sama dengan Fasa I yang mendapat liputan Sabahkini.net sebelum ini.

Walaupun KKLW terpaksa berbelanja RM292,597,527.91 untuk melaksanakan enam projek di atas secara runding terus melalui tender terpilih, namun dijangka tidak menyelesaikan masalah BELB di Sabah yang sudah pastinya akan menjadi salah satu isu penting dalam pilihanraya umum ke 13 yang dijadualkan 11 November 2011.

Tiada ulasan: