HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2011

Felcra dicadang teroka tanah adat S'wak

BERNAMA


Felcra wajar mempertimbangkan langkah membangunkan lebih banyak tanah di kawasan pedalaman di negeri ini, khususnya tanah hak adat bumiputera (NCR).

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata ini kerana tidak seperti agensi lain, Felcra sedia membangunkan tanah tanpa perlu pindah hak milik.

"Cadangan ini dapat dilakukan jika pemilik tanah membenarkannya," katanya ketika merasmikan sambutan sebelum Hari Gawai Dayak, anjuran Felcra Sarawak, di Julau malam tadi.

Salang yang juga Anggota Parlimen Julau berkata kebanyakan tanah NCR termasuk di kawasannya, sesuai diusahakan bukan saja untuk tanaman kelapa sawit tetapi juga kebun kecil getah.

Cadangan itu juga katanya selaras dengan rancangan Felcra yang akan membangunkan 200 hektar tanah di sini, sebagai tambahan kepada 600 hektar yang diusahakan dengan kelapa sawit.

Selain itu Felcra turut merancang membangunkan 1,500 hektar tanah di kawasan Sebangkoi-Bayong di sini, serta 5,700 hektar di Pasai Siong berhampiran Sibu.

Salang turut mengingatkan masyarakat bahawa Felcra bukan agensi yang mementingkan keuntungan semata-mata tetapi menggunakan dana awam untuk kepentingan masyarakat.

Justeru katanya, kejayaan usaha Felcra bergantung kepada kerjasama pemilik tanah.


Tiada ulasan: