HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mei 2011

Interlok: Apa lagi pihak protes mahu, soal timbalan menteri


KUALA LUMPUR — Pihak yang masih mendesak agar novel Interlok digugurkan daripada digunakan sebagai buku teks sastera umpama golongan yang tidak mahu isu itu selesai, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi (gambar).

Beliau berkata, isu novel Interlok sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi, malah tetap akan digunakan di sekolah tahun ini.

“Mereka yang nak buku ini ditarik balik merupakan mereka yang tak mahu isu ini selesai kerana mereka hidup atas isu.

“Isu Interlok ini kami lihat sudah selesai. Ia diselesaikan berdasarkan permuafakatan yang diambil. Seperti yang telah diumumkan, kementerian sudah pun meminda perkataan seperti yang diusulkan kerana dianggap menghina kaum tertentu seperti perkataan ‘paria’,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Beliau juga mendakwa pihak yang mahu novel karya Sasterawan Negara kelapan itu ditarik balik penggunaannya di sekolah merupakan satu tindakan yang tidak mahu melihat negara ini aman.

“Kita akan tetap gunakan sebagai buku komponen sastera. Kami sudah buat pindaan dan gugurkan perkataan-perkataan tertentu seperti yang diminta. Isu ini sudah selesai. Apa lagi yang mereka nak (mahu)?” katanya.

Sabtu lalu, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) mengumumkan akan mengadakan mogok lapar jika kerajaan tidak memansuhkan novel Interlok, yang menjadi komponen sastera tingkatan lima, yang kontroversinya berterusan hingga kini.

Pindaan itu difahamkan masih dalam proses Dewan Bahasa dan Pustaka. 
NIAT berkata langkah pihaknya itu bertujuan membuktikan bahawa mereka serius dalam pendiriannya menuntut novel tersebut digugurkan dari sukatan pelajaran sekolah.

Mac lalu, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, novel Interlok akan kekal digunakan sebagai teks komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif.

Katanya, pindaan itu dibuat selepas panel bebas mengkaji novel Interlok telah mengenal pasti bahagian yang dianggap sensitif.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilihnya sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India negara ini.

Tiada ulasan: