Oleh: Nabihah Hamid
KUALA LUMPUR: Selepas pendedahan empat bekas tentera memangkah ribuan kertas undi , isu pengundi klon yang mempunyai identiti berganda dalam daftar pemilih masih tidak selesai.
Akhbar Sinar Harian pada 20 Ogos lalu menyiarkan kejayaannya menjejaki nama pengundi yang mencurigakan iaitu Azhar Bin Ahmad, Besah Binti Mat dan Mansor Bin Ahmad, selain Mismah yang didakwa sebelum ini mempunyai status pengundi tetap (PR) dan mendaftar dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat kelmarin mendedahkan lima lagi nama pengundi klon yang mempunyai nama unik dan meragukan yang terdapat dalam laman web SPR.
Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Mobilisasi & Demokrasi berkata, apa yang menjadi persoalan identiti pengundi tersebut tidak mempunyai alamat kediaman dan dikesan merupakan ahli Umno yang mepunyai dua nombor keahlian.
Lebih menarik lagi tiada sebarang rekod ditunjukkan dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) bagi identiti tersebut.
Misalnya pengundi yang bernama Jumaayah Binti Alus dan Sainam Binti Tukisan yang mempunyai nama unik tetapi mempunyai dua nama dan nombor kad pengenalan hampir serupa daftar pemilih SPR.
Perkara yang sama berlaku terhadap dua lagi ahli umno yang bernama Katimah Kadni yang memiliki nombor keahlian Umno yang berbeza.
“Cawangan tersebut adalah di Parit Basri Darat, Seri Medan Batu Pahat Johor. Jika benar maklumat ini maka identiti ini boleh mengundi dua kali di cawangan yang sama,” kata Suhaizan.
Justeru itu katanya, Sinar Harian juga wajar menjejaki nama-nama unik yang jarang dimiliki rakyat Malaysia dan berharap akhbar itu tidak memberhentikan tugasnya sekerat jalan dengan pendedahan sebelum ini.
Sementara itu, Pemuda PAS turut memohon pihak Jabatan Rekod dan Pencen, Kementerian Pertahanan membuat semakan terhadap nama pengundi Nesam Banu Bt Mohammad Fahmi yang merupakan bekas tentera.
Ini berikutan identiti ini boleh mengundi dua kali dalam undi Pos di Setiawangsa dan mempunyai nombor tentera yang hampir-hampir sama dan hanya dibezakan dengan satu digit sahaja.
Selain itu seorang lagi pengundi dikesan bernama Lanuddin Bin Ngah Mat Nasir mempunyai dua identiti dan merupakan seorang anggota polis yang hanya dibezakan dengan ‘bin’ dan ‘b’ sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan