KUALA LUMPUR - Putrajaya mewujudkan Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion untuk kegunaan inisiatif Projek Permulaan (EPP) bagi syarikat-syarikat Bumiputera berkelayakan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Turut diumumkan ialah peruntukan kerja-kerja bernilai lebih RM8 bilion dalam projek Transit Rapid Massa (MRT) laluan Sungai Buloh hingga Kajang.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) kelima hari ini.
Pengumuman ini dibuat di sebalik tekanan pertubuhan bukan kerajaan Melayu termasuk dewan-dewan perniagaan agar kerajaan memberi fokus ke atas agenda kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
“Menurut Perdana Menteri, pewujudan danam mudah cara berjumlah RM2 bilion ini adalah hasil kerjasama Teraju dan Unit Kerjasama Awam-Swasta yang bakal dilancarkan untuk kegunaan inisiatif-inisiatif Projek Permulaan bagi syarikat-syarikat Bumiputera yang layak, mengikut syarat yang ditetapkan,” kata satu kenyataan dikeluarkan oleh Teraju hari ini.
Katanya, dana itu diharapkan dapat menyelesaikan isu pembiayaan yang menjadi salah satu kekangan syarikat-syarikat Bumiputera.
“Dana ini akan menyediakan sokongan kepada PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta) Bumiputera dan akan menjadi insentif tambahan bagi syarikat-syarikat yang memohon untuk mendapatkan bantuan di bawah program Teras yang dilancarkan oleh Teraju pada 20 Julai tahun ini serta inisiatif-inisiatif lain yang telah dan bakal diperkenalkan untuk syarikat-syarikat Bumiputera,” katanya.
Malah menurut kenyataan itu, dana berkenaan telah diwujudkan sebagai “tipping point” sesuatu projek, dengan menyediakan pembiayaan bagi infrastruktur, agar PFI Bumiputera dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan projek. Dana ini akan menjadi pemangkin kepada syarikat Bumiputera untuk menjalankan projek-projek besar yang mempunyai tahap kelayakan minima nilai pelaburan projek berjumlah RM20 juta.
“Diharapkan impak jumlah pelaburan ini akan juga membawa manfaat kepada syarikat permulaan serta enterpris mikro Bumiputera, untuk membolehkan mereka memperpaiki kedudukan mereka di dalam rantaian nilai,” katanya lagi.
Berdasarkan anggaran Teraju, dana ini dijangka menjana sejumlah lebih RM10 bilion pelaburan swasta.
Menjelaskan kerja-kerja kejuruteraan sivil MRT, kenyatan itu menambah, Perdana Menteri juga membuat kenyataan tentang beberapa pakej yang diperuntukkan khas kepada kontraktor Bumiputera.
Katanya, pakej-pakej yang telah dikenal pasti adalah pakej kerja sivil dan infrastruktur, pakej sambungan bekalan tenaga TNB, pakej perolehan berpusat, pakej terowong dan bawah tanah dan pakej sistem MRT.
“Peruntukan Bumiputera yang dianggarkan sebanyak 43 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan projek MRT pada jajaran berkenaan,” katanya.
Kenyataan itu menambah, strategi perolehan projek MRT itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perolehan Sehenti yang dipengerusikan oleh Najib selaku Menteri Kewangan.
Kenyataan itu menambah, bagi kontraktor-kontraktor kelas D, E dan F, pakej dianggar bernilai RM200 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja sivil serta pakej kerja sivil dan infrastruktur.
Katanya, syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan akan melalui proses pembidaan berpandukan prinsip-prinsip berlandaskan ketelusan, merit, keupayaan dan rekod prestasi.
- Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan