HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Ogos 2011

Pengawal keselamatan terima zakat

FREE MALAYSIA TODAY

"Dengan kos hidup di bandar yang semakin meningkat, pendapatan bulanan yang diterima mereka mungkin tidak mencukupi," kata Jamil Khir Baharom.



KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang berkhidmat di sekitar Wilayah Persekutuan buat julung kali menerima zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Seramai 1,984 pengawal keselamatan menerima zakat yang keseluruhan berjumlah RM396,800 yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Perkim di sini hari ini.

Beliau berkata selain berpendapatan rendah, bantuan itu juga diberi sebagai menghargai peranan pengawal keselamatan yang sentiasa mengawal dan menjaga keselamatan rakyat.

“Dengan kos hidup di bandar yang semakin meningkat, pendapatan bulanan yang diterima mereka mungkin tidak mencukupi. MAIWP bercadang untuk meneruskan bantuan zakat ini kepada pengawal keselamatan setiap tahun,” katanya kepada pemberita kemudiannya.

Turut menerima zakat ialah pemandu teksi, veteran tentera dan polis serta Pos Malaysia Berhad.

Jamil Khir berkata kerajaan komited dalam memastikan bantuan zakat dapat diserahkan kepada golongan yang layak menerimanya dengan jumlah yang diterima mencukupi untuk menampung keperluan asas mereka.

“Sepanjang bulan Ramadan tahun ini, MAIWP telah mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM8.31 juta kepada hampir semua asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menyerahkan bantuan zakat berjumlah RM50,000 kepada 100 orang pendakwah yang berpendapatan rendah di sekitar Wilayah Persekutuan.

Ditanya mengenai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menjumpai 35,000 buku dan risalah mengenai fahaman Syiah semalam, beliau berkata tindakan menyebarkan fahaman itu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan umat Islam di negara ini.

Jamil Khir berkata walaupun pengikut ajaran Syiah bebas untuk mengamalkan fahaman itu, tetapi mereka diminta supaya menghormati fahaman Islam yang lain dan tidak menimbulkan penyebaran yang bersifat ajakan.

“Puluhan ribu buku dan risalah mengenai ajaran Syiah telah dikenal pasti telah diedarkan di masjid-masjid di seluruh negara. Ini telah menimbulkan ketidaksenangan di kalangan umat Islam di negara ini,” katanya. Bernama

Tiada ulasan: