Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) berpendapat rancangan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi memperbaiki sistem pilihan raya adalah helah Umno BN melengahkan reformasi pilihan raya.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya mempunyai kuasa untuk melaksana tuntutan Bersih, tanpa menunggu jawatankuasa tersebut.
“Mengapa perlu menunggu PSC memberikan syor. Adakah ini (taktik) melengahkan reformasi pilihanraya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PR di Pejabat Agung PAS, semalam.
Turut serta, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa pimpipinan PR lain.
Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan PR, kata Anwar, mengenai pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing dalam jumlah begitu banyak.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu jelaskan mengapa ratusan ribu warga asing diberi kewarganegaraan segera. Belum ada jawapan jelas mengenainya.
“Cadangan Majlis PR ialah mensyor kerajaan membentuk suruhajaya diraja bagi menyiasatnya,” katanya.
Kit Siang pula berkata, SPR tidak perlu menunggu sehingga enam bulan bagi mendengar syor PSC bagi menyelesaikan isu pengundi hantu, pendatang asing dan daftar pemilih diragui.
Sementara itu, Mohammad Sabu menegaskan empat dari lapan tuntutan Bersih boleh diurus SPR tanpa campurtangan atau syor dari sesiapa.
“Penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen minima 21 hari, pembersihan daftar pemilih boleh diselesaikan SPR tanpa memerlukan pindaan undang-undang,” tegasnya.
Menjawab soalan wartawan adakah PR sudah memutuskan akan menyertai PSC, Anwar berkata, kerajaan perlu membuktikan terlebih dahulu niat baik mereka.
“Sehingga kini pentadbiran Najib hanya menunjukkan keangkuhannya dalam menghadapi tuntutan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan