Oleh: Norutul Ilham
PUTRAJAYA: Gabungan penulis blog dan aktivis yang dikenali sebagai Jingga 13, membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kewujudan identiti palsu dalam sistem pengesahan, laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, tindakan itu diambil supaya SPRM menyiasat kepincangan dalam sistem daftar pemilih SPR dan sistem pengesahan JPN.
“Jingga 13 mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN serta SPR menjawab isu kewujudan identiti pengenalan palsu atau tidak wujud dalam daftar pemilih SPR.
“Jingga 13 mengesyaki berlaku sendikit yang terlibat secara licik dan tersusun dalam menjalankan taktik kotor tersebut. Ianya pasti didalangi oleh institusi yang bertanggungjawab dalam usaha menjalankan gerak kerja bagi tujuan memenangkan sesebuah parti dalam pilihan raya,” kata Fariz ketika ditemui media selepas membuat laporan di SPRM di sini hari ini.
Fariz berkata, maklumat yang diperolehi melalui laman web SPR adalah mengelirukan apabila terdapat nama dan nombor kad pengenalan yang tidak ditemui dalam sistem JPN.
“Adalah menghairankan bagaimana wujud si penama serta nombor pengenalan baru dalam daftar pemilih SPR beserta maklumat lengkap serta tarikh lahir, jantina, lokaliti, daerah mengundi, DUN dan Parlimen,”
“Tetapi apabila disemak dalam sistem JPN, didapati nombor kad pengenalan tersebut tercatat ‘tiada permohonan atau nombor yang dimasukkan tidak sah,” kata beliau.
Fariz membuat laporan berkenaan bersama seorang Ketua Angkatan Muda KEADILAN Gombak, Nizam Saad.
Mereka ditemubual oleh dua pegawai, salah seorangnya Penguasa Kanan SPRM, Hazrul Shazwan Abd Yazid, selama kira-kira tiga jam.
Menurut Fariz, sepanjang proses laporan tersebut berlangsung, beliau ditanya soalan bertubi-tubi oleh pegawai penyiasat untuk membuktikan kaitan pendedahan tersebut.
“Sebelum keluar beliau mengingatkan kami supaya tidak mendedahkan kepada media apa bentuk persoalan yang dikemukakan sepanjang temubual berlangsung,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan