HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Ogos 2011

Penduduk Kapit derita akibat sungai cetek

Kesusahan serta penderitaan penduduk di lebih 100 buah rumah panjang tersebut akibat air sungai Batang Rajang cetek dijangka akan berlarutan sehingga tahun 2015.



KUCHING: Lebih 1,000 penduduk yang tinggal di sepanjang sungai Batang Rajang bermula dari Kaki Wong Pelagus sehingga Pekan

Belaga di Bahagian Kapit akan terus dibelenggu kesusahan serta menderita akibat paras air sungai Batang Rajang yang cetek sehingga sekurang-kurangnya dua tahun yang akan datang.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Jemut Masing berkata, kesusahan serta penderitaan penduduk di lebih 100 buah rumah panjang tersebut akibat air sungai Batang Rajang cetek dijangka akan berlarutan sehingga tahun 2015 akibat proses penakungan air di Empangan Hidroelektrik Bakun.

Menurutnya, pada masa ini daripada lapan buah turbin di empangan terbabit dan hanya sebuah turbin yang sudah digunakan dan kesemua turbin tersebut akan hanya digunakan atau dibuka untuk laluan air pada 2015.

“Saya jangkakan dalam dua tahun lagi penduduk di Kapit (lebih-lebih lagi mereka yang terpaksa melalui Jeram Pelagus) akan terus menderita akibat air cetek sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

“Kenapa saya kata seperti itu kerana pada masa ini paras air di takungan empangan Bakun belum mencapai paras maksimum seperti yang dikehendaki.

Pada masa ini hanya satu turbin sahaja beroperasi, dan ini bermakna ia hanya akan melepaskan sedikit sahaja air.

“Kesannya air sungai Batang Rajang terus cetek kalau tidak cukup hujan sehinggalah semua turbin beroperasi seperti yang dijangkakan pada 2015, barulah paras air sungai Batang Rajang kemungkinan kembali normal,” katanya.

Sabung nyawa

Mengambil berat tentang masalah penduduk berkenaan, Masing ketika melahirkan rasa kekesalannya memberitahu, sepatutnya sebelum proses penakungan air dan empangan Bakun siap, perancangan rapi hendaklah diatur bagi menyelesaikan masalah penduduk yang terpaksa menyabung nyawa setiap kali melalui Jeram Pelagus.

Jelasnya, perancangan sama seperti pembinaan Jalan Bukit Jayong sepanjang lebih 20 kilometer yang menghubungkan pekan Belaga perlu di buat sebagai jalan alternatif untuk mengelak penduduk daripada terpaksa menggunakan jalan air yang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan perahu atau ekspres pendek dalam keadaan yang merbahaya dan tidak selesa.

“Itulah (jalan alternatif) yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam merancang pembangunan demi keselesaaan penduduk di Kapit suatu masa dahulu. Tetapi tindakan seperti itu tidak dilakukan, sekarang penduduk terus tersiksa dan lebih malang ia dijangka terus berlarutan sekurang-kurangnya dua tahun yang akan datang,” jelasnya.

Untuk rekod, penduduk di sepanjang Kaki Wong (muara Jeram Pelagus) sehingga Pekan Belaga yang terpaksa berulang alik ke Bandar Kapit, terpaksa melalui Jeram Pelagus sekiranya melalui jalan sungai dengan keadaan jeram berkenaan yang merbahaya akibat air cetek.

Selain dari menggunakan ekspres pendek yang telah diubah suai, perahu atau tongkang, penduduk di kawasan yang terjejas akibat air sungai Batang Rajang cetek juga boleh menggunakan jalan kem pembalakan.

Bagaimanapun jalan menggunakan jalan kem pembalakan hanya dapat menghubungkan sebahagian kecil rumah panjang dan mengambil masa yang lama serta begantung kepada masa atau kenderaan pengangkutan iaitu ada beroperasi atau tidak.

“Selain itu, tambang juga mahal. Seperti apa yang diberitahu oleh seorang Tuai Rumah yang kebetulan bertemu dengan saya, tambang dari Nanga Pila yang kebiasaannya hanya RM30 tetapi kalau menggunakan jalan darat penduduk terpaksa berbelanja lebih dari RM100,” jelasnya.

Masing menambah, ia belum termasuk jika sekiranya penduduk tersebut ada membawa barang yang terpaksa dibayar pula tambangnya.

Semua itu menjadi masalah serta penderitaan yang akan terus dirasai oleh penduduk di Kapit yang terpaksa berulang alik menggunakan jalan air dari Bandar Kapit ke Pekan Belaga dalam tempuh beberapa tahun akan datang, katanya.

Tiada ulasan: