HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mac 2010

Dua beradik jadi buruh kasar


Azizah Abu Seman (kiri) bersama anak-anaknya dari kanan, Mohd. Salam Nazri, Mohd. Shafirul Syafiq, Nur Sharina dan Nur Sharini di Kampung Sukamari di Pendang, Kedah, semalam.


PENDANG 15 Mac – Akibat kemiskinan dua beradik terpaksa mengorbankan alam persekolahan dan bekerja sebagai buruh kasar bagi mencari sesuap nasi. Si abang, Mohd. Shafirul Syafiq Nazri, 14, dan adiknya Mohd. Salam Nazri, 13, berhenti daripada sekolah sejak setahun yang lalu.

Tambah malang, Mohd. Salam juga tidak sempat mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kini mereka berdua hanya mengambil upah mengangkut batu-bata dengan kadar upah RM50 sebulan.

Kedua-dua beradik ini tinggal bersama datuk dan nenek mereka, Abu Seman Abdullah, 56, dan Rojah Said, 56, di Kampung Sukamari di sini.

Dua lagi adik mereka, Nor Sharina dan Nor Sharini, enam tahun tinggal bersama ibu mereka Azizah Abu Seman, 36, di Charuk Kudung dekat sini.

Menurut Azizah, dia hanya bekerja di kedai menggoreng kerepek di Charuk Kudung dekat sini dengan upah sebanyak RM13 sehari.

“Saya memang nak anak-anak saya bersekolah kerana ia penting untuk masa depan mereka semua.

“Namun kami sekeluarga ada masalah kewangan dan anak-anak saya tiada kenderaan untuk ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, kedua-dua anaknya iaitu Shafirul dan Salam tinggal dengan ayah serta ibunya kerana kedua-duanya membantu ayahnya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Salam memberitahu, dia dan abangnya, Shafirul memang mahu bersekolah semula namun kekangan kewangan memaksa mereka untuk berhenti sekolah.

“Saya kerja angkat batu-bata bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang bersama datuk dan abang saya.

“Upah yang saya dapat saya beri kepada mak beli makanan untuk kami sekeluarga dan saya teringin sangat belajar semula di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zuraidi Rahim yang melawat keluarga tersebut hari ini berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah bagi menempatkan semula kedua-dua beradik ini ke sekolah.

“Mereka berdua akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang dan mereka akan tinggal di asrama.

“Mereka akan masuk semula ke sekolah sebaik sahaja sesi persekolahan bermula pada minggu depan,” katanya.

Jelas Zuraidi, GPMS Kedah juga akan memberi bantuan wang persekolahan kepada dua beradik ini bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menuntut ilmu hanya kerana ketiadaan wang.

Tiada ulasan: