HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mac 2010

e-undi bakal ‘liwat’ universiti, PRU 13

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Seperti kes liwat yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) semalam turut mengadakan satu forum tentang sejauh mana demokrasi di universiti-universiti tempatan `diliwat’ oleh kerajaan pada Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lalu.

Hishamuddin Rais, iaitu bekas aktivis mahasiswa era 1960-an berkata, sistem e-undi yang diperkenalkan di beberapa universiti sebelum ini merupakan suatu eksperimen ke atas mahasiswa sebelum kerajaan melaksanakan sistem tersebut ke atas sistem Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

“Telah saya katakan kepada awam bahawa mekanisme mempertahankan diri yang digunakan oleh United Malays National Organization (Umno) itu supaya kuasa daulah (kerajaan) terus di tangan mereka,” jelas Hishamuddin, selaku salah seorang panel. (gambar sebelah)

Jelas beliau lagi, sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani suatu perjanjian dengan melantik pusat teknologi informasi (IT) di India untuk menjalankan penyelidikan berhubung sistem e-undi itu.

“Kalau saudara masih ingat, Najib Tun Razak (Perdana Menteri) telah pergi ke India sebanyak dua kali dan saudara mesti ingat di mana dia berhenti (iaitu) pusat IT India, di mana di situ tempat sistem e-undi sedang dikaji (serta) bagaimana nak dilaksanakan e-undi di Malaysia.

“Pada ketika ini, telah ada perjanjian-perjanjian yang dibuat antara kerajaan Malaysia dan India (dan) ingat saya begitu yakin bahawa e-undi akan dilaksanakan,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, sistem yang bakal diperkenalkan di Malaysia itu membolehkan pengendali sistem menentukan jumlah angka majoriti-minoriti pengundi bagi satu-satu Dun atau Parlimen kerana pihak terbabit menguasai surver sistem itu.

“Lihat di Florida (Amerika Syarikat) lima tahun lalu, George W. Bush boleh memenangi pilihan raya (Datuk Bandar) sebelum dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat kerana pengendali sistem di situ dikendalikan oleh seorang penjawat kerajaan, iaitu adiknya sendiri,” jelas beliau di depan lebih 400 hadirin.

Sehubungan itu, Dr. Azmi Shahrom, iaitu Ahli Akademik dari Fakulti Undang-Undang dari Universiti Malaya pula mempersoal motif di sebalik insitif pentadbiran universiti, khususnya bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dilihat ghairah campur tangan dalam aktiviti PRK.

“Saya sendiri pun tidak campur tangan dalam sistem pilihan raya kampus, maka mengapa HEP campur tangan dalam sistem pilihan raya mahasiswa,” soal beliau.

Tambahnya lagi, tindakan campur tangan oleh HEP itu akhirnya mengakibatkan sistem demokrasi dan sistem e-undi itu sendiri tidak lagi dipercayai oleh mahasiswa.

“Ini bukan isu demokrasi semata-mata, tetapi isu kepercayaan kepada e-undi itu sendiri,” jelasnya.

Dalam nada yang jenaka, beliau berkata, mungkin disebabkan para pegawai HEP tidak mampu mencari kerja di tempat yang lain, maka mungkin mereka terpaksa bersungguh-sungguh memenangkan satu-satu pihak di kalangan mahasiswa.

Berkongsi pengalaman menjadi mahasiswa di Britain, beliau menjelaskan bahawa mahasiswa tidak dihalang untuk menjelaskan warna politik kepartian masing-masing dalam pilihan raya kampus di sana.

Yang menarik, menurut beliau, walaupun ada mahasiswa secara terbuka bertanding atas tiket Parti Konservatif dan Parti Buruh, namun kebanyakan calon yang memenangi pilihan raya kampus adalah calon-calon Bebas.

“Mereka (mahasiswa Britain) bukan nak lihat calon parti-parti itu, mereka nak seorang calon yang Bebas yang diyakini boleh mewakili mereka.

“Apa yang nak saya katakan di sini, mereka (mahasiswa Britain) tidak dihalang untuk menunjukkan warna sebenar parti masing-masing (dalam pilihanraya kampus), tidak seperti kita (di Malaysia),” jelasnya.

Bercakap dalam forum yang sama di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Shazni Munir Mohd Ithin menjelaskan bahawa HEP di kebanyakan universiti langsung tidak mengambil pandangan mahasiswa sebelum melaksanakan sistem e-undi.

Tidak cukup dengan itu, beliau mendakwa, HEP telah menggunakan dana universiti untuk memenangkan calon proksi mereka, iaitu calon yang bertanding atas tiket pro-universiti atau Aspirasi.

Seperti di Universiti Malaya, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Hepa) bukan sahaja tidak berani untuk berdepan dengan siri demontrasi mahasiswa, malah menolak suatu konsultan yang dicadangkan oleh mahasiswa untuk membuat pengabsahan ke atas sistem e-undi universiti.

Pun begitu, beliau berharap kerajaan Malaysia segera melaksanakan sistem e-undi dalam PRU ke-13 kelak, supaya seluruh rakyat pula bangkit mempersoal demokrasi di tanah air, sebagaimana mahasiswa mempersoal tindakan HEP meliwat demokrasi universiti.

Tiada ulasan: