HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mac 2010

Jangan terburu umum MEB

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan Melayu (MPM) mendesak kerajaan supaya tidak terburu-buru mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) kerana bimbang ia bakal menimbulkan polemik dalam soal yang membabitkan hak serta kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, justeru MEB perlu diperhalusi sepenuhnya agar kepentingan Melayu dan Bumiputera terus terbela selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap dasar yang ditetapkan di dalam MEB adalah berteraskan kepada peruntukan tersebut agar tidak menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu hingga menjadi isu politik.

"Kita tidak mahu kerajaan gopoh umum MEB. Dasar kesungguhan atau tindakan affirmative bagi menjaga kepentingan kaum majoriti mesti diteruskan agar pembahagian kekayaan negara diagihkan dengan adil, paling tidak berdasarkan nisbah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Jika MEB itu tidak menjadikan Perkara 153 sebagai teras, kami akan menolak dengan tegas kerana ia adalah satu jenayah dan bertentangan dengan semangat Rukun Negara. Kami sedia bertindak mengikut saluran yang betul jika ia tidak dipenuhi," katanya selepas menghadiri Sidang Meja Bulat MEB anjuran MPM di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Sidang yang dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu turut dihadiri 86 pemimpin dan wakil anggota MPM.

Ibrahim menambah, pihaknya turut akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon diadakan pertemuan dengan 86 pemimpin anggota MPM supaya dapat dizahirkan keputusan sidang berkenaan.

Dalam sidang itu, MPM turut membuat beberapa keputusan yang turut bakal diusulkan kepada Perdana Menteri antaranya menjadikan agenda pembangunan ekonomi Melayu dan bumiputera sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta tidak dihapuskan kuota Melayu dan Bumiputera dalam sektor-sektor strategik.

Tiada ulasan: