HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mac 2010

JPP bagaikan tol yang akan sabotaj Kelantan - Idris Ahmad

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Kerajaan BN mewujudkan 'tol' (lebuh raya) 'Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)' di mana sebahagian peruntukan Kerajaan Pusat kepada Kelantan telah diserah kepada jabatan ini dan dana yang dimasukkan dalam akaun JPP tidak direkodkan oleh kerajaan Kelantan sebagai hasil negeri.

Ketua Penerangan Pas Idris Ahmad berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Husin baru-baru ini yang menggesa agar Kelantan tidak berterusan 'mengeksport' rakyatnya ke negari-negeri lain lantaran kemiskinan negeri itu.

"Dakwaan bahawa kedudukan perniagaan di Kelantan tidak bermaya adalah contoh persepsi buruk yang cuba ditimbulkan Umno. Kedudukan ekonomi Kelantan masih baik dan peluang perniagaan sentiasa ada di sini," katanya dalam suatu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Isu Kelantan 'eksport' rakyatnya, tambah beliau, tidak sepatutnya menjadi isu kerana negeri lain seperti Johor, Terengganu, Pahang, dan Kedah juga adalah antara negeri yang aktif 'mengeksport' rakyatnya sendiri.

Rakyat Johor (kubu kuat Umno), jadi 'pelarian' ekonomi di S'pura

"Puluhan ribu rakyat Johor ('kubu Umno') dilaporkan bekerja di Singapura. Ini berbeza dengan Kelantan yang kebanyakan rakyatnya bekerja di Lembah Klang, dan sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia secara umumnya.

"Sebelum ini, perkara sebegini tidak pernah menjadi isu, kenapa sekarang beliau membangkitkannya?" soal beliau lagi.

Menurut Idris, rakyat Kelantan kini berada di hampir semua negeri dalam pelbagai sektor termasuklah yang bekerja dengan kerajaan pusat.

"Dalam sektor kerajaan sendiri ramai tenaga pakar kalangan anak-anak Kelantan yang pernah meminta ditukar ke Kelantan untuk membantu negeri itu, tetapi mereka diletakkan di Putrajaya, manakala anak-anak Kelantan yang tidak sokong kerajaan dihantar ke pedalaman di Sabah Sarawak," kata beliau.

Ketika mengulas kedudukan perniagaan di Kelantan yang tidak bermaya dan kurangnya pelancong asing ke negeri itu, Idris berkata, fenomena ini bukan sahaja dirasai Kelantan pada waktu ini.

"Kelantan sentiasa dimomokkan dengan imej negatif hingga menyebabkan pelabur dan pelancong berasa kurang yakin. Padahal, negeri lain juga sebenarnya mengalami masalah yang sama berikutan kelembapan ekonomi negara secara keseluruhannya," katanya yang kesal kerana banyak peruntukan kerajaan persekutuan selama ini tidak sampai sepenuhnya kepada pentadbiran Kelantan.

Tambah beliau, sikap ini berbeza sama sekali dengan negeri-negeri yang diperintah BN, di mana mereka mendapat jumlah penuh peruntukan daripada pusat.

Dalam kes wang ehsan tambah Idris, kerajaan persekutuan menguna prosedur kewangan yang sama di mana RM20 juta akan diserah kepada JPP Kelantan.

"Apakah ini bukan satu tindakan yang culas?" soalnya, kesal dengan karenah Umno yang tidak pernah ikhlas membantu Kelantan selama ini.

Menurutnya, Kelantan menolak wang ehsan kerana yakin mereka berhak terima wang royalti minyak bernilai lebih RM2 Bilion.

"Hak ini juga dinafikan walhal wang royalti adalah hasil negeri yang sewajarnya dibayar oleh kerajaan persekutuan kepada Kelantan setelah membenarkan Petronas menjalankan carigali minyak di perairan Kelantan.

"Jika Kelantan terima wang royalti dan JPP dibubarkan, maka kewangan negeri tidak akan mengalami defisit, malah pembangunan yang lebih rancak dapat diadakan.

"Kenapa Umno Kelantan berpakat untuk menafikan hak rakyat ini? Jelas Umno berniat untuk sabotaj ekonomi negeri di mana hasil negeri yang sepatutnya diterima tidak diberikan dan dalam masa yang sama, Awang Adek sibuk menyatakan bahawa ekonomi dan perniagaan Kelantan tidak bermaya," kata beliau lagi.

Idris berkata, sikap kerajaan persekutuan yang terus menganaktirikan Kelantan harus dihentikan dan hakikat bahawa negeri ini selesa di bawah pentadbiran Pas sejak dua dekad perlu diterima oleh Umno.

"Pas akan terus memastikan Kelantan dapat dimajukan walaupun Umno, BN tidak akan berhenti mensabotaj negeri ini. Kelantan yang diperintah Pas selama ini tidak pernah sunyi dengan gangguan dan sabotaj daripada Umno," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: