HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Mac 2010

Kematian demam denggi tahun ini membimbangkan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Berikutan enam lagi kematian akibat demam denggi minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengarahkan supaya penguatkuasaan dipertingkatkan terhadap premis yang membiak nyamuk Aedes dan pengamal perubatan yang gagal melaporkan kes denggi kerana kes yang semakin meningkat.

Minggu lalu saja, enam kematian dilaporkan, tiga daripadanya di Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 31 tahun ini.

Sehubungan itu, kementerian mengadakan mesyuarat kelmarin bersama pegawai jabatan kesihatan negeri dan daerah yang bermasalah denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan, di sini, semalam berkata, sebilangan besar daripada kematian denggi berlaku di kawasan wabak denggi dan kawasan yang mempunyai pembiakan Aedes.

Beliau meminta orang ramai memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di sekitar luar dan dalam kediaman mereka seminggu sekali.

Bagi tempoh 21 hingga 27 Februari lalu, jumlah kes meningkat 20 peratus kepada 1,121 kes dengan enam kematian berbanding 935 kes dengan dua kematian pada minggu sebelum itu.

"Ini adalah kes mingguan yang tertinggi yang dilaporkan sejak tahun lalu dan tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya antaranya Pulau Pinang (55 peratus), Sarawak (39 peratus), Perak (33 peratus), dan Selangor (29 peratus)," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, walaupun jumlah kes denggi setakat tahun ini menurun 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, angka kematian tahun ini lebih tinggi dan keadaan itu amat membimbangkan.

Jumlah kes terkumpul yang dilaporkan sehingga 27 Februari lalu adalah 8,349 kes dengan 31 kematian berbanding 9,937 kes dengan 28 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi penyakit Chikungunya pula, katanya jumlah kes menurun kepada 22 kes minggu lalu berbanding 29 kes pada minggu sebelumnya.

Tiada ulasan: