HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Mac 2010

KIBFG dilengkapi ciri keselamatan, jamin kualiti ikan - Noh Omar

UTUSAN ONLINE


JASIN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kecewa dengan tindakan pengimport ikan di negara ini yang membantah arahan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) selain memboikot pengeluaran ikan negara jika arahan itu dikuatkuasakan esok.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, paling mengecewakan pihaknya apabila perbuatan golongan tersebut turut mempengaruhi nelayan tempatan yang tidak ada kaitan dengan arahan penggunaan kotak ikan berkenaan.

Menurutnya, dalam beberapa siri perbincangan yang diadakan dengan pengimport ikan sebelum ini, pihak berkenaan bersetuju mematuhi peraturan itu jika kerajaan menawarkan pemberian insentif bagi mengurangkan beban penggunaan kotak ikan.

"Mereka tiada sebab mahu boikot atau enggan mematuhi arahan ini kerana tujuan penggunaannya amat jelas iaitu kita mahu memastikan ikan yang diimport dalam keadaan segar dan berkualiti tinggi.

"Selain ingin memastikan ikan yang dibawa masuk ke negara ini segar dan berkualiti, kita mahu memudahkan urusan pemeriksaan ikan di jeti kerana mikrocip yang terkandung dalam kotak memudahkan kerja serta menjamin aspek keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Jasin di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat sekumpulan pengimport ikan dari Johor, Selangor, Kedah dan Perak yang tidak berpuas hati dengan arahan penggunaan KIBFG.

Kumpulan tersebut mengugut untuk menghentikan import ikan ke negara ini apabila arahan dikuat kuasa secara berperingkat bermula esok.

Selain itu menurut Noh, pihaknya tidak memahami situasi tidak puas hati yang cuba diwujudkan oleh kumpulan berkenaan memandangkan pihak terbabit telah bersetuju untuk memenuhi arahan tersebut termasuk menerima tawaran insentif penggunaan KIBFG.

Jelas beliau, melalui insentif itu, pengimport ikan hanya perlu membayar RM140 untuk kotak ikan 100 kilogram berbanding RM205 harga pasaran biasa, manakala harga bagi tong ikan 50 kilogram ialah RM90 berbanding harga biasa RM125.

"Kita peruntukan kira-kira RM2.8 juta untuk sediakan insentif ini semata-mata mahu memastikan ikan yang dibawa masuk ke negara ini adalah segar dan berkualiti.

"Ia juga menjamin hal-hal keselamatan kerana mikrocip yang terkandung dalam kotak ikan akan memudahkan kita mengimbas isi kandungannya tanpa perlu membuka kotak.

"Ini mengurangkan pencemaran ke atas ikan tetapi saya tidak tahu kenapa pengimport sukar mematuhi arahan ini, mungkin mereka tidak mahu penggunaan mikrocip yang akan menjejaskan urusan mereka sebelum ini," katanya.

Katanya, kotak ikan lama yang digunakan pengimport sebelum ini boleh dijual kepada nelayan tempatan yang berminat memandangkan penggunaannya masih diperlukan oleh golongan tersebut.

Kata beliau, kerajaan tetap akan meneruskan penggunaan KIBFG secara berperingkat bermula esok dan tidak mahu bertolak ansur dengan kumpulan berkenaan memandangkan penguatkuasaan peraturan itu telah dibuat sejak 2006.

Tiada ulasan: