Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) diminta menjelaskan sebab-musabab peningkatan kos pembinaan pada program rumah mesra rakyat (RMR), seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang.
“Kita cuma nak tahu, kenapa kos (pembinaan) rumah begitu mahal kos-kos ini,” ujar Dr. Tan Seng Giaw , Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Kewangan Nasional (PAC) ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.
Menurut Dr. Tan, sekiranya kos pembinaan bagi sekaki persegi bernilai RM100, maka rumah yang kediaman yang dibina itu boleh dianggap sebagai rumah mewah.
“Ianya termasuk kos pembinaan RM100 untuk kaki persegi…ini untuk rumah kos mewah (atau) banglo, bukannya rumah kos rendah dan sederhana,” jelasnya.
“Kos itu adalah kos untuk banglo, kita juga nak tahu bagaimana ia begitu tinggi.”
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong meminta SPNB menjelaskan kos-kos projek terbabit secara terperinci.
Beliau turut meminta SPNB menjelaskan kedudukan projek-projek terbengkalai yang membabitkan 35 syarikat kontraktor Bumiputera.
“Ketua Audit Negara telah menjalankan beberapa siasatan berhubung projek-projek SPNB (yang) tertangguh,” ujarnya.
“Kita mahu mereka (SPNB) menjelaskan kos-kos itu (secara) terperinci termasuk kedudukan projek-projek terbengkalai dan lewat.”
Pun begitu, beliau berkata, beberapa persoalan yang dibangkitkan itu bukanlah berniat untuk mencari kelemahan dalam bidang pengurusan di dalam SPNB sendiri.
Sebaliknya, menurut Dr. Tan, dengan penjelasan terperinci oleh SPNB membolehkan PAC sendiri menghitung kualiti RMR yang dibina supaya setimpal dengan kos pembinaan yang ditaksirkan demi kepentingan rakyat.
“Kita juga nak tahu adakah kos yang tinggi ini setimpal dengan kualiti perumahan,” beliau menambah.
Dalam pada itu, Dr. Tan turut mengetengahkan beberapa aduan yang membabitkan Kementerian Kewangan sendiri.
Aduan yang dimaksudkan itu, menurut beliau, termasuk bayaran lewat oleh kementerian kepada beberapa kontraktor terbabit, yang akhirnya mengakibatkan beberapa projek RMR tertentu terbengkalai.
“Seperti dakwaan beberapa kontraktor, benarkah kementerian hanya membayar sebahagian atau tidak membayar langsung kepada kontraktor,” soalnya.
Seperti yang dipetik dari kertas aduan yang diterima, beliau berkata, dilaporkan SPNB berhutang sebanyak RM186 juta kepada beberapa kontraktor.
Bagaimanapun, beliau berkata, wakil SPNB telahpun mengaku bahawa hutang tertunggak yang dialami oleh SPNB pada beberapa kontraktor terbabit adalah sebanyak RM40 juta sahaja.
“Kita pun tidak tahu angka sebenarnya dan menunggu SPNB menjelaskan soal hutang ini secara terperinci kelak,” katanya.
Beberapa sumber lain pula memberitahu bahawa hutang tertunggak oleh Kementerian Kewangan itu adalah sekitar RM500 juta, tetapi Azian mendakwa bahawa jumlah hutang tertunggak sebenar adalah kurang dari RM300 juta.
Kata beliau, masalah sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam SPNB kerana GLC itu hakikinya berada di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan sendiri.
Ditambah dengan perolehan pinjaman segera RM1.3 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SPNB seharusnya tidak mengalami hutang tertunggak, seperti yang diadukan oleh beberapa kontraktor terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, daripada 24,000 unit kediaman kos rendah dan sederhana yang disasarkan oleh SPNB untuk dibina, sebanyak 9,000 unit RMR telahpun terjual kepada rakyat.
Manakala, Dr. Tan sendiri secara peribadi membuat kesimpulan bahawa penjelasan yang disampaikan oleh SPNB dan wakil Kementerian Kewangan tersebut tidak mencerminkan budaya profesional serta tidak memuaskan.
Disebabkan itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid bersama-sama Dr. Tan bersetuju untuk menetapkan bahawa PAS akan membuat siasatan susulan pada 23 Mac ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan