HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mac 2010

Selangor tiada hak audit

Oleh Rafidah Mat Ruzki


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan audit terhadap urusan kewangan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh YBK.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, perkara itu yang terkandung dalam Klausa 16, Undang-undang Tubuh YBK, turut memperuntukkan bahawa hanya akauntan bertauliah yang dilantik Lembaga Pemegang Amanah yang berhak menjalankan audit urusan kewangan YBK.

Bagaimanapun, katanya, YBK tidak mempunyai halangan terhadap usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan dan mengaudit harta yang diluluskan kepada YBK.

“Usaha Kerajaan Selangor itu (membuat audit urusan kewangan) akan turut mengesahkan kenyataan kami mengenai senarai tanah yang diluluskan kepada YBK,” katanya.

Zainal Abidin berkata demikian, ketika mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Rabu lalu yang menyatakan Kerajaan Selangor akan mengadakan audit bagi membuat penilaian sebenar terhadap semua harta dan aset yang dimiliki yayasan itu, berikutan notis tunggakan cukai tanah masih dihantar ke Pejabat Menteri Besar.

Beliau berkata, tanah di Serendah seluas enam ekar (2.4 hektar) sudah dibangunkan pada 1994, dengan membina Kompleks Asrama Kasih, menempatkan seramai 300 pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan fakir miskin.

Katanya, sehingga kini, seramai 2,173 individu sudah mendapat manfaat daripada pembinaan asrama itu.

Zainal Abidin berkata, tanah milik YBK di Kuala Selangor atau di Mukim Api-api seluas 5.4 ekar (2.16 hektar) pula menempatkan sebuah Pusat Latihan YBK yang dibina pada 1992, sehingga kini berjaya melahirkan seramai 1,504 pekerja mahir.

Katanya, pusat latihan itu menawarkan kursus Mekanik Kenderaan Motor, Lukisan Pelan, Landskap, Elektrik dan Pemasangan Penyaman Udara.

“Tanah di Rawang seluas 8 ekar (3.2 hektar) dan satu lagi di Serendah juga seluas 8 ekar sedang dibangunkan untuk projek perumahan dan komersial, sebagai usaha YBK meningkatkan nilai tanah.

“Projek ini diharap dapat membiayai semua program pembasmian kemiskinan oleh YBK tanpa mengharap ehsan masyarakat pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, hanya tanah yang menempatkan ibu pejabat YBK beroperasi yang masih dialamatkan ke Pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun, katanya, empat lot tanah berkenaan dengan keluasan 615 meter persegi, yang menempatkan dua rumah jenis berkembar itu, dibeli sendiri oleh YBK.

YBK turut mempunyai tanah di Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

“Pengurusan YBK sedang menghubungi Pejabat Tanah Petaling mengenai pertukaran alamat baru YBK iaitu di No 32 & 34, Jalan SS7/24 Kelana Jaya,” katanya.

Tiada ulasan: