HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mei 2011

Akta Kg Baru: MAS gesa Putrajaya tunjuk pindaan sebelum referendum



Perkarangan salah satu rumah di Kampung Baru. — Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR — Majlis penduduk Kampung Baru, pentadbir tanah milik eksklusif orang Melayu di ibu negara, mahu Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang pindaannya sedang dikemaskinikan, dibentangkan kepada badan itu sebelum Putrajaya membuat referendum.

Laporan media sebelum ini menyebut referendum dijadual untuk diadakan bulan ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru Shamsuri Suradi, pihaknya dimaklumkan pindaan rang undang-undang itu dijangka siap minggu ini.

Justeru tegas beliau, Putrajaya harus membentangkan rang undang-undang itu kepada MAS sebelum sebarang tindakan lain dibuat termasuk mengadakan referendum.

“Mengenai soal referendum, belum ada apa-apa perkembangan terbaru tapi ia akan dilakukan.

“Macam mana nak buat referendum kalau rang undang-undang itu masih belum diperbetulkan? Rang undang-undang itu betulkan dulu, mana yang kami mahu ia dipinda buat dulu kemudian serahkan kepada kami (untuk putuskan),” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Tambah Shamsuri, rang undang-undang itu yang akan dibentangkan kali kedua di Parlimen bulan depan harus mendapat persetujuan pemilik-pemilik tanah kawasan itu terlebih dahulu.

“Sebelum bentangkan bulan Jun ini, kena bagi kepada kami dulu... kalau kami setuju baru kami akan buat hebahan kepada penduduk.

“Apa-apa pun rang undang-undang yang baru ini perlu mendapat persetujuan daripada kami dan penduduk,” tegasnya.

Pertengahan bulan lalu, sumber Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berkata, rang undang-undang itu masih diperhalusi ekoran protes pelbagai pihak dan akan dibawa ke perhatian pemilik-pemilik tanah kawasan itu sebelum dibentangkan di Parlimen.

Menurut sumber itu, pindaan ke atas rang undang-undang itu kini berada di peringkat akhir dan dijangka siap tidak lama lagi.

Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu bagi membolehkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang-undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua dan dibahas pada persidangan yang berakhir Mac lalu ditangguh sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Jelas sumber itu lagi, referendum merupakan sebahagian daripada rancangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk mendapatkan respons pemilik tanah di kawasan itu.

Sebelum ini Raja Nong Chik juga berkata wakil kementerian akan turun ke setiap kampung untuk menjelaskan mengenai rang undang-undang itu bagi memastikan tidak ada ada lagi kekeliruan mengenainya.

Beliau berkata, untuk memberi kepuasan kepada semua pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru, kerajaan memberi jaminan akan mengemukakan referendum kepada mereka dan jika semua pihak bersetuju barulah rang undang-undang itu akan diteruskan.

Tiada ulasan: