HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Mei 2011

AMK tangguh protes, Perkasa teruskan himpunan pertahan Utusan


KUALA LUMPUR — Perkasa meneruskan perhimpunan aman mempertahankan Kumpulan Utusan di ibu pejabat akhbar milik Umno itu petang ini.

Bagaimanapun sayap pemuda PKR memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan aman memprotes syarikat itu.

Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, selain mengadakan perhimpunan pihaknya juga akan menyerahkan memorandum kepada Kumpulan Utusan.

“Perkasa akan menyerahkan satu memorandum kepada Utusan Malaysia hari ini di pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadlian (AMK) Rozan Azen Mat Rasip berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan perhimpunan hari ini kerana mahu memberi tumpuan ke atas penyerahan memorandum di Kedutaan Australia berhubung isu loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

“Kita tidak batalkan, cuma tangguhkan atas dua faktor, yang pertama kerana kita mahu beri lebih tumpuan untuk menjayakan perhimpunan aman mengenai pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Kedutaan Australia dan kalau ikut perancangan ia diadakan serentak dengan perhimpunan di Utusan Malaysia.

“Jadi selepas mengambil kira semua aspek dan pertimbangan AMK memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan di Utusan Malaysia selain kemungkinan kita akan berdepan dengan tindakan sabotaj Pemuda Umno dan Perkasa yang juga akan berada di lokasi sama,” katanya.

Justeru kata beliau, adalah lebih baik sekiranya pihak menyertai perhimpunan aman dan penyerahan memorandum di Kedutaan Australia daripada berdepan dengan Pemuda Umno dan Perkasa di pejabat Utusan Malaysia.

“Ini adalah sabotaj Pemuda Umno dan Perkasa, kenapa mereka mahu buat perhimpunan pada waktu sama dengan kita? Baik kami fokus di Kedutaan Australia, tarikh baru kami akan tentukan kemudian,” katanya.

AMK mahu mengadakan perhimpunan di pejabat Utusan Malaysia sebagai membantah tindakan akhbar itu yang menyiarkan laporan-laporan berunsur fitnah dan lucah.

Namun Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata tindakan AMK itu adalah satu perkara yang “biadab” dan “tidak menghormati kebebasan bersuara.”

Tiada ulasan: