Tetapi ada juga nelayan tempatan yang menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam kerana mahu wang secara mudah.
KUALA TERENGGANU: Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) hari ini tampil menjelaskan bahawa kerajaan membenarkan nelayan Vietnam mendaratkan ikan di pelabuhan perikanan Chendering.
Persatuan juga juga menegaskan nelayan Vietnam juga mempunyai permit kerja yang sah.
“Bot itu memang dari Vietnam tetapi pihak berkuasa Malaysia memberi lesen untuk menangkap ikan di perairan negara kita.
“Jabatan perikanan membenarkan nelayan Vietnam menggunakan bot dari negara mereka untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Bot nelayan Vietnam itu mendaratkan ikan di pelabuhan Chendering kerana kekurangan anak tempatan menjadi nelayan laut dalam.
“Tetapi ada juga nelayan kita yang menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam kerana mahu wang secara mudah,” kata seorang kakitangan Penentu.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu namanya disiarkan.
Menurut beliau, urusan pengeluaran permit kerja kepada nelayan Vietnam dibuat oleh jabatan perikanan dan persatuan nelayan tidak terbabit dengannya.
“Persatuan tidak tahu jumlah sebenar bot nelayan tersebut tetapi dianggarkan berpuluh buah. Bot-bot itu menggunakan plat pendaftaran nelayan Terengganu iaitu TRF.
“Jumlah nelayan Vietnam juga persatuan tidak tahu. Tetapi kita boleh buat anggaran, kalau satu bot 10 orang, kalau 30 bot sudah 300 orang.
“Mereka juga tidak menjadi ahli persatuan kerana keahlian Penentu untuk nelayan tempatan Terengganu sahaja,” tambahnya.
Katanya, pihak berkuasa sering mengadakan operasi bagi membanteras nelayan Vietnam yang tidak mempunyai permit kerja.
Beliau juga memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang bantahan dari nelayan tempatan mengenai kehadiran bot dan nelayan Vietnam itu.
“Mereka bercakap sesama sendiri di tepi jeti atau di warung tetapi tidak ada bantahan bertulis yang diberikan kepada kami.
“Oleh kerana itu kami tidak boleh buat apa-apa. Jika mereka buat bantahan bertulis sekurang-kurangnya kami akan bawa isu itu kepada pihak berkenaan,” jelasnya.
Beliau juga mengesahkan nelayan berkenaan mahu mengadakan demonstrasi di pelabuhan Chendering pada Khamis ini tetapi dibatalkan setelah dinasihati Penentu.
Katanya, pihaknya berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan