Ini kerana jelas keempat-empat keluarga itu, anak mereka telah ditahan pada 14 April lalu di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat tanpa sebarang bukti mengaitkan dengan kegiatan jenayah.
Malah tiga daripada mereka adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang lagi berumur 20 tahun.
Mereka yang ditahan adalah Muhammad Rizal Ibrahim, Mohamad Razif Mahadi, Mohd Syahiran Tumin dan Muhammad Noorariff Bakran, 20.
Kesemua mereka kini ditahan di Balai Polis Air Molek dan keluarga hanya boleh menemui anak-anak setiap Khamis selama 15 minit.
“Anak saya ditahan tanpa sebarang pembelaan, kalau ikut Ordinan Darurat anak saya akan ditahan selama 60 hari kemudian akan diputuskan sama ada diteruskan tahanan selama dua tahun atau dibuang daerah.
“Kenapa boleh jadi macam ini? Apa kesalahan anak saya? Apa dia dah buat? Ini yang saya dan keluarga lain tidak puas hati... anak-anak kami ditahan atas kesalahan apa? Apa bukti kata mereka ini melakukan jenayah?” kata Bakran Kahar, 51, bapa kepada Muhammad Nooariff.
Bakran berkata, sekiranya kesemua yang ditahan itu melakukan jenayah, dakwa di mahkamah bukan ditahan tanpa sebarang pembelaan.
“Kalau memang sudah terbukti mereka semua melakukan jenayah, kami terima, tapi apa yang berlaku sekarang tiada bukti, ini di luar jangkaan.
“Kami mahukan pembelaan, kalau salah dakwa di mahkamah dan kalau tidak bersalah bebaskan mereka kerana mereka masih muda dan baru lepas SPM.
“Sebab itu saya minta Kementerian Dalam Negeri ambil berat perkara ini, polis juga jangan tahan seseorang tanpa bukti,” katannya pada sidang media selepas membawa perkara itu ke Suhakam.
Turut hadir Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Johor Syed Othman Syed Abdullah.
Menurut ibu Mohd Syahiran, Rosmawati Taib, 43, penahanan anaknya menyebabkan peluang untuk melanjutkan pengajian terpaksa dibatalkan buat sementara waktu.
“Anak saya sudah ditawarkan untuk teruskan pengajian tapi bila dia sudah ditahan kami terpaksa batalkan semua sekali, kami sedih sebab dia ditahan tanpa sebab.
“Kalau dia salah pun mesti ada pembelaan tapi sekarang terus ditahan tanpa sebarang pembelaan, apa yang kami boleh buat? Polis juga tidak maklumkan ditahan atas kesalahan apa,” katanya.
Tambah Rosmawati, Mohd Syahiran juga akan ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini dan perkara itu telah dimaklumkan kepada polis, namun ditolak.
“Saya sudah hantar surat kepada polis mengatakan anak saya akan jalani PLKN tapi tidak dibenarkan sebaliknya polis mengatakan anak saya ditahan kerana terlibat dalam aktiviti jenayah.
“Jenayah apa yang anak saya lakukan? Apa bukti? Saya mahukan penjelasan,” katanya.
Sementara itu, Mahadi Kassim, 45, iaitu bapa Mohamad Razif dan Rohaya Harun, 49, ibu Muhammad Rizal, mahu anak mereka dilepaskan segera.
“Kami mahukan mereka dilepaskan, mereka tidak lakukan jenayah dan penahanan mereka adalah perkara yang tidak berasas,” kata Mahadi.
“Kalau mereka lakukan jenayah sila dakwa di mahkamah, saya tidak mahu anak saya ditahan tanpa sebarang pembelaan,” kata Rohaya.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Setiausaha Suhakam Ameer Izyanif berkata, pihaknya memang tidak bersetuju dengan mana-mana penahanan tanpa pembelaan.
Namun jelas beliau, Suhakam tidak mempunyai sebarang kuasa dalam hal-hal berkaitan penahanan tanpa pembelaan termasuk dibawah Ordinan Darurat.
"Kita memang tidak setuju dengan penahanan tanpa pembelaan seperti penahanan di bawah Ordinan Darurat ini.
"Tapi bukan kuasa Suhakam untuk tentukan mengenai penahanan ini tapi pendirian Suhakam tetap tidak bersetuju dengan penahanan tanpa pembelaan," katanya.
Justeru kata Ameer, pihaknya akan membawa aduan itu ke perhatian Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan susulan.
"Kita akan bawa usul ini kepada Kementerian Dalam Negeri dan kalau benar mereka ini bersalah kita mahu ia dibawa ke mahkamah, kalau tidak bersalah bebaskan mereka dengan segera," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan