HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mei 2011

Kristian-Islam: Najib gesa tidak eksploitasi isu agama

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Najib Razak menghadiri mesyuarat pleno sempena Sidang Kemuncak Asean di Jakarta semalam. — Foto Reuters

JAKARTA— Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeksploitasi isu agama — kononnya pihak Kristian berkonspirasi mahu menjadikan ia agama rasmi negara.

“Tolong bertenang sehingga kami mencari faktanya. Ia (mengeksploitasi) tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun.

“Siapa saja sama ada pembangkang atau prokerajaan, mereka tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu ini,” kata beliau di akhir Sidang Kemuncak Asean ke-18 di sini.

Laporan Bernama menyebut, Perdana Menteri yang diminta mengulas isu mengenai adanya pihak sedang berusaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.

Katanya kerajaan akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu dan semua pihak tidak harus membesarkan cerita kerana ia boleh menjadi api dalam sekam.

“Kalau kita tak bendung, ia boleh menjadi unsur polarisasi yang serius dalam masyarakat kita,” katanya.

Najib berkata agama merupakan perkara yang sensitif dan semua pihak dalam negara mesti menjaga keadaan supaya tidak ada sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat.

“Malaysia berpegang kepada peruntukan Perlembangan, maknanya Islam ialah agama rasmi Malaysia dan di samping itu agama-agama lain bebas dianuti.

“Ini merupakan prinsip penting yang telah dijadikan sendi utama dalam pembentukan negara Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan.

“Kalau ada sesiapa yang cuba menggugat ketenteraman negara, kita tak akan benarkan perkara ini berlaku sebab yang penting ialah keharmonian dalam negara kita,” katanya.

Tiada ulasan: