SHAH ALAM : Meskipun berjaya menjimatkan sejumlah dana daripada pengurangan pemberian subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP), berkemungkinan besar dana itu tidak sempat diagihkan kepada rakyat jelata.
Ini berikutan dana yang dijimatkan itu bakal digunakan sepenuhnya untuk kerajaan kekal bertahan, setelah satu demi satu projek suntikan ekonomi yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak, gagal.
Demikian pandangan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mengulas cadangan kerajaan pemerintah mahu menyemak semula subsidi yang diberikan kepada IPP sejak sekian lama.
Najib sebelum ini melancarkan Model Ekonomi Baru (NEM) pada 30 Mac 2010. Ia terbahagi kepada 2 fasa . Fasa 1 bermula pada 30 Mac 2010. Sementara Fasa 2 selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Najib juga pada Julai 2009 melancarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA. Ia menumpu kepada mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, menambah baik pengangkutan awam bandar.
Tidak cukup dengan itu, Najib turut mengumumkan tujuh projek baru menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Malangnya menurut Charles, ETP yang dibangga- banggakan Najib itu menunjukkan tanda- tanda kegagalan apabila tidak dapat mempertahankan kedudukan daya saing Malaysia di bawah Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam daya saing antarabangsa 2011 apabila jatuh 6 anak tangga.
Pada tahun 2010, Malaysia menduduki tangga ke -10, sebelum tergelincir ke tangga 16 pada tahun 2011.
"Apa yang jelas ialah, negara kita telah hilang daya saing dengan negara lain dan oleh kerana itu kita tidak ada kewangan yang mencukupi yang mampu disalurkan kepada rakyat, oleh itu hasil jimat cermat daripada usaha pemotongan subsidi ini hanya mampu untuk mempertahankan keadaan sedia ada dan tidak mampu untuk dipulangkan kepada rakyat," kata Charles.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Perdana, Datuk Seri Idris Jala memaklumkan kerajaan persekutuan akan menyemak semula subsidi yang diberikan kepada IPP.
IPP adalah entiti swasta yang memiliki kemudahan bagi membekalkan tenaga elektrik untuk dijual.
Sehingga kini terdapat 26 IPP di seluruh negara dan semua mereka menikmati pembelian harga gas dan barangan berasakan petroleum pada harga diskaun.
Charles berkata, tindakan mahu menyemak semula subsidi itu mirip kepada tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat tetapi langkah itu masih dilihat sukar selagi tidak dilaksanakan gaji minima kepada semua rakyat dinegara ini.
"Bagaimana untuk mengatasi permasalahan ini adalah menerusi apa yang dipanggil gaji minima, dan itupun telah tersenarai dalam Buku Jingga, dimana pelaksanakannnya secara keseluruhannya mampu membawa perubahan dan menolong rakyat negara kita untuk menampung keluarga dengan kos kehidupan yang tinggi," kata Charles.
Merujuk muka surat 23 Buku Jingga, di bawah dasar bersama Pakatan Rakyat, antara lain berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
Selain itu ia buku jingga juga memperkenal Akta Peluang Saksama bagi memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua rakyat, sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan