KUALA LUMPUR: Pilihan raya Singapura merupakan bukti bahawa parti pembangkang di Singapura sudah mula menyahut cabaran untuk membawa perubahan politik di negara itu.
“Memperoleh hampir 40 peratus undi popular di tengah-tengah kempen untuk reformasi demokrasi, pembangkang Singapura berjaya melakukan perubahan dalam lanskap politik di sana,” kata Anwar.
Demikian dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu mengulas keputusan pilihan raya Singapura yang baru sahaja selesai.
Menurut Anwar, keputusan pilihan raya itu juga menunjukkan bahawa kepuasan hati rakyat Singapura terhadap ekonomi kukuh negara itu bersifat luaran semata-mata.
“Realiti sebenar pentadbiran di bawah kuasa yang sama untuk jangka masa yang terlalu lama – ketidakadilan sosial, keperitan inflasi, dan penjagaan sosial yang tidak mampu dibiayai – kini terbongkar,” kata Anwar.
Di sebalik ketiadaan media bebas secara umumnya, parti pembangkang di Singapura tetap diberikan ruang udara di televisyen nasional untuk menyuarakan pandangan mereka, kata Anwar.
“Perkara ini tidak pernah berlaku di Malaysia dan tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat ini,” katanya lagi.
Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada Parti Pekerja dan parti pembangkang Singapura yang lain di atas prestasi cemerlang mereka walau pun PAP berterusan menguasai 81 daripada 87 kerusi Parlimen di sana.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang merupakan parti yang memerintah Singapura sekarang ini sebelum ini menyifatkan pilihan raya itu sebagai yang paling mencabar buat mereka dalam sejarah penubuhan Singapura.
Ia begitu mencabar sehingga PAP terpaksa bertindak memohon maaf kepada rakyat Singapura di atas sikap mereka yang dilihat sebagai angkuh dan elitis hanya beberapa hari sebelum pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan