HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mei 2011

Utusan Malaysia didesak mohon maaf

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Malaysia didesak supaya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, dengan penyiaran berita yang amat tidak bertanggungjawab, berhubung wujudnya usaha dari pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Desakan itu dibuat Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), yang juga mahu isu itu tidak dipolitikan mana-mana pihak bagi menamatkan kekeruhan yang telah tercetus.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab dalam menegaskan, akhbar Utusan Malaysia tidak sepatutnya menyebarkan berita yang hanya bersumberkan penulisan blog peribadi.

Menurut beliau, sebagai salah sebuah akhbar perdana di Malaysia, Utusan sepatutnya menjaga integriti akhbar tersebut dengan penyiaran berita yang sahih dan bukan sekadar memetik persepsi yang ditulis dalam blog secara rambang.

Tambahan pula katanya, berita yang diambil daripada blog itu bersifat provakatif dan boleh mendatangkan ketegangan antara agama.

"Penulisan Zakir Mohamed tidak seharusnya dijadikan bahan publisiti oleh akhbar Utusan Malaysia kerana sangat tidak menghormati sensitiviti agama lain.

"Sekiranya Zakir Mohamed benar-benar memiliki bukti mengenai isu yang ditimbulkan, saluran yang betul perlu digunakan agar isu ini dapat disiasat tanpa mewujudkan ketegangan yang mengancam keharmonian rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Jadi, tegas beliau, sekiranya ditanya apakah bloger yang terlibat dalam isu ini perlu dikenakan tindakan seperti yang pernah terjadi kepada bloger Aduka Taruna, SMM berpendirian untuk menunggu siasatan pihak polis.

"Sekiranya terbukti isu yang ditimbulkan adalah fitnah dan berniat jahat, maka bloger yang terlibat perlu dikenakan hukuman berdasarkan kesalahan fitnah dan bukannya kerana mengeluarkan kenyataan secara terbuka," katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya isu yang ditimbulkan oleh bloger berkenaan adalah benar iaitu wujud sentimen yang cuba mencabar kedudukan agama Islam dalam Artikel 11 Perlembagaan, SMM menuntut agar siasatan lanjut diadakan agar integriti Perlembagaan Malaysia kekal sebagai undang-undang tertinggi negara.

Kenyataan beliau itu disokong oleh Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA).

Selain itu, kenyataan itu juga turut disokong oleh Pro Mahasiswa Nasional (PMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Legasi Mahasiswa Progresif UPSI (LMP).

Dengan perkembangan yang berlaku kini, beliau menjelaskan, SMM akan menganjurkan dialog antara invidu terlibat bagi memperjelaskan isu sebenar kepada rakyat sekali gus menghapuskan polimik yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi SMM, katanya, tindakan Utusan boleh menyebabkan berlakunya prejudis antara agama dan dialog itu akan bertindak sebagai jalan penyelesaian terhadap isu yang berlaku.

"Dialog ini perlu diadakan secepat mungkin bagi mempertemukan beberapa individu penting untuk menyelesaikan konflik yang berlaku." tegas beliau.

Tiada ulasan: