Datuk Richard Riot
Datuk Richard Riot
 
SERIAN - Pemilik hotel dan penyedia perkhidmatan keselamatan adalah antara 400 syarikat makro dengan enam atau lebih pekerja di  seluruh negara diberi kelonggaran untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum sehingga 31 Dis tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot hari ini.
  
Beliau berkata selepas 1 Jan tahun depan, kementeriannya tidak akan lagi memberi sebarang pengecualian kepada mana-mana syarikat yang dikehendaki membayar gaji minimum RM800 sebulan di Sarawak, Sabah serta Labuan dan RM900 di Semenanjung mengikut Perintah Gaji Minimum 2012 bagi sektor swasta.
  
Surat permohonan terkini (bagi penangguhan) yang diterima adalah daripada sebuah syarikat perladangan di Sarawak yang akan dirujuk kepada Majlis Perundingan Gaji Negara untuk keputusan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Birumuh 2013 dan program '1Malaysia Support For Housewives' dan Azam Kerja peringkat negeri di sini.
  
Syarikat mikro dikategori sebagai mempunyai lima pekerja ke bawah.  

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 12.8 juta pekerja di Malaysia, termasuk 1.4 juta penjawat awam dan 1.5 juta pekerja asing.
  
Bagaimanapun, tiada angka rasmi mengenai pekerja tanpa izin namun berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah, terdapat sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa izin, menjadikan jumlah keseluruhan pekerja asing di negara ini adalah tiga juta orang, katanya.
  
Ketika berucap, Riot berkata program '1Malaysia Support For Housewives' yang diperkenalkan kementeriannya melibatkan 40,000 suri rumah daripada pelbagai sektor pekerjaan, pendaftaran dalam portal JobsMalaysia dan pembabitan dalam program menjana pendapatan tahun ini di seluruh negara.
  
Sehingga Mei tahun ini, di bawah program itu, JobsMalaysia berjaya membantu 27,131 suri rumah, ibu tunggal, wanita kurang upaya dan kumpulan sasar lain untuk menjana pendapatan, katanya.
  
Bagi program pembasmian kemiskinan 1Azam pula, beliau berkata 7,000 orang, 5,000 di Semenanjung dan 1,000 masing-masing di Sabah dan Sarawak, akan dibantu tahun ini. - Bernama