ALOR SETAR - PR Kedah akan mewujudkan exco bayangan bagi memantau
setiap aktiviti yang dilaksanakan kerajaan negeri berdasarkan portfolio
masing-masing.
Ketua Pembangkang Dun, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, ia bertujuan
memberi teguran kepada pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui BN
supaya tidak melakukan kepincangan atau penyelewengan.
Beliau berkata, ‘shadow cabinet’ itu secara tidak langsung akan memberi
penekanan kepada perkara baru atau lama yang tidak diteruskan selepas
diperkenalkan pentadbiran PR.
“Apa yang berlaku sekarang ini menjadi pertanyaan orang ramai.
Contohnya skim khafalah yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri PR
sebelum ini. Apakah ia diteruskan atau sebaliknya.
“Jadi, perkara seperti ini yang akan kita pantau. Kita juga akan
memastikan Adun pembangkang dapat menjalankan tugas sebaiknya untuk
memberi pandangan yang bernas supaya Kedah terus disejahterakan, bukan
sekadar aman dan makmur,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau yang juga Adun Anak Bukit berkata, portfolio berkenaan akan
mencakupi keseluruhan 15 Adun PR merangkumi Pas, PKR dan DAP.
“Mungkin ada yang tidak disebut secara khususnya dipegang oleh
portfolio mereka (exco) yang ada, tapi kita merasakan perkara itu
penting dan akan memberi tugasan kepada Adun PR untuk melihatnya,”
katanya.
Amiruddin berkata, portfolio yang bakal dipegang oleh exco pembangkang
nanti juga adalah sama dengan apa yang terdapat pada kerajaan negeri.
“Kita sudah ada draf Adun yang memegang portfolio tertentu.
Bagaimanapun, kita akan bincang terlebih dahulu sama ada nak umumkan
sebelum atau semasa persidangan dewan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan