Zahid Hamidi
Zahid Hamidi
 
PUTRAJAYA - Seramai 362 warga Iran dipenjara di negara ini dengan kebanyakan mereka disabitkan dengan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952).
  
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, 341 ditahan mengikut ADB 1952, dengan 64 orang disabitkan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
  
"Lapan lagi ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan 13 di bawah Akta Imigresen," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Duta Besar Iran ke Malaysia, Mohammad Jalal Firouznia di pejabatnya di sini hari ini.
  
Ahmad Zahid berkata antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah penghantaran pulang banduan tersebut dan Iran katanya memohon untuk mengekstradisi empat banduan rakyatnya.
  
Namun, jelas beliau kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara mengenai perkara itu.

"Kita tidak mahu jika penghantaran pulang banduan dadah ini akan menyebabkan berlakunya kemasukan semula, oleh itu beberapa kaedah untuk memastikan sindiket dadah dihapuskan akan terus dibincang," katanya.
  
Ahmad Zahid berkata perkara lain yang turut dibincangkan ialah usaha mencegah penyeludupan dadah dari Iran ke Malaysia serta pertukaran maklumat antara Polis Diraja Malaysia dan polis Iran.
  
Tambah beliau, Iran merupakan antara negara yang berjaya menangani masalah penagihan dadah, justeru kementerian bercadang berkongsi maklumat melalui Agensi Antidadah Kebangsaan bersama unit seumpama itu, di sana.
  
Sementara itu, Mohammad Jalal berkata meskipun jumlah banduan warga Iran di Malaysia tidak terlalu besar, mereka berusaha memindahk sebahagiannya.
  
"Mesyuarat pada hari ini, terdapat kerjasama baik dan rapat di antara kedua-dua negara. Bagaimanapun, kami mahu mengaktifkan semula perjanjian persefahaman kedua-dua negara terutama membabitkan polis dan agensi anti dadah," katanya. - Bernama