HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Jun 2013

Apa yang mendorong aktivis mahasiswa ini?

 Adam Adli ketika berucap disebuah forum di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Gambar The Malaysian Insider. Oleh Mohd Farhan Darwis

Gerakan aktivis yang mula menonjol selepas Pilihan Raya 2008, apabila tsunami politik mula melanda tanah air yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami kejutan selepas hilang majoriti dua pertiga Parlimen kepada Pakatan Rakyat (PR).

Gerakan-gerakan berkenaan kemudiannya melahirkan tokoh aktivis daripada pelbagai cabang termasuk gerakan mahasiswa yang bangkit menentang kepincangan polisi kerajaan, yang menurut mereka tidak berfungsi sebaik mungkin.

Adam Adli Abdul Halim, 24, pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengakui kesedaran gerakan aktivis timbul ketika menuntut di institusi pengajian tinggi, selepas merasakan polisi-polisi yang dibentuk pentadbiran universiti tidak menepati suara dan kehendak mahasiswa.

"Kita tiada persatuan pelajar yang bebas dan memperjuangkan hak mahasiswa," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kita mempunyai banyak saluran bagi kami menyuarakan pendapat, namun saluran itu semua tidak pernah berfungsi ... AUKU umpamanya, membunuh potensi dan autonomi pelajar universiti," katanya merujuk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti yang kini telah dipinda dan membenarkan mahasiswa menyertai politik.

Adam sebelum ini menggemparkan negara kerana tindakannya menurunkan kain rentang wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berdemo di Ibu Pejabat Umno di PWTC, pada Disember 2011, dan sedang digantung selama tiga semester.

Gerakan-gerakan seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak-Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Gerakan Penuntut Kebebasan Akademik (Bebas), dan banyak lagi kemudiannya lahir seiring dengan tsunami politik negara yang turut menyaksikan pertembungan merebut Putrajaya antara BN dan PR.

Daripada gerakan-gerakan seperti itu kemudiannya muncul demonstrasi mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) membantah tindakan penggantungan terhadap Prof Dr Abdul Aziz Bari pada 2011, yang kemudiannya dilihat semakin kerap demonstrasi dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan berkenaan.

Malah, nama-nama seperti Adam, Safwan Anang, dan  Shukri Razab juga mula timbul menandakan gerakan mahasiswa semakin aktif dan pernah dikatakan menjadi penimbang tara kepada pentadbiran kerajaan.
Isu-isu berkaitan mahasiswa seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pendidikan percuma, kebebasan akademik, dan pemansuhan AUKU mula mendapat perhatian banyak pihak, terutamanya kumpulan pembangkang yang turut memperjuangkan agenda sama.

"Isu-isu ini masih belum selesai ... Ia sekadar dibincangkan sahaja sekarang ini," kata Adam, anak kelahiran Pulau Pinang yang mula aktif dalam kegiatan aktivis pada 2010.

Bagi Safwan Anang, pengerusi SMM ini berpendapat penganjuran demonstrasi yang sinonim dengan mereka adalah salah satu mekanisme yang digunakan bagi membangkitkan kesedaran terhadap isu-isu mahasiswa.

"Objektif kami masih jauh dari sasaran, isu-isu ini masih belum selesai," kata Safwan, 24, pelajar jurusan Pendidikan Islam Universiti Malaya (UM) kepada The Malaysian Insider.

"Demonstrasi tetap menjadi platform membangkitkan kesedaran walaupun ia bukan jalan terbaik," katanya, yang berasal dari Batu Burok, Terengganu.

Kedua-dua mereka bagaimanapun berkata gerakan mahasiswa akan tetap bersifat partisan meskipun mereka dilihat "mesra pembangkang" dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan juga nasional.

"Kami badan pendesak yang non partisan supaya keseimbangan akan terus berlaku," kata Safwan (gambar).

Adam juga bersetuju dengan perkara itu, dan berkata:"kami tetap akan lawan sistem yang mereka pakai, tukar kerajaan sekalipun tetapi sistem yang sama digunapakai, tak guna."

Demonstrasi di perkarangan Parlimen baru-baru ini  menyaksikan kedua-dua aktivis ini ditahan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun Safwan dibebaskan jam 12.30 pagi, manakala Adam dibebaskan sekitar jam 2.00 pagi keesokan harinya dengan jaminan polis.

Mengulas mengenai demonstrasi menuntut kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan itu, Safwan menyuarakan rasa kecewa terhadap kepimpinan PR yang menurutnya tidak melayan permintaan kumpulan berkenaan menggesa ahli Parlimen pembangkang memboikot upacara mengangkat sumpah ahli Parlimen.

"Kami akan beri tekanan kepada kedua-dua pihak (BN dan PR) ... Kami akan jadi pendesak untuk selesaikan isu pokoknya," tegas Safwan.

Menjelaskan kemungkinan ditangkap dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, Safwan berkata, beliau tidak mempunyai masalah besar sekiranya dikenakan tindakan termasuk di mahkamah, malah keluarganya juga sangat membantu dan menyokong perjuangannya itu.

"Ibu bapa menyokong penuh ... mereka juga aktivis masyarakat," kata Safwan.

Bagi Adam, beliau menganggap pengalaman berdepan tindakan daripada pihak berkuasa adalah pengalaman untuknya pada masa hadapan yang menurutnya "lebih banyak cabaran" akan dihadapi.

"Perasaan takut (ditangkap) itu dah pun berjaya diatasi dengan semangat nak berjuang.

"Keluarga sangat menyokong, mungkin sebab mereka faham apa yang saya buat semua ni adalah usaha-usaha yang baik dan diperlukan," katanya.

Kedua-dua anak muda ini juga yakin akan terus berada di landasan aktivis selepas tamat pengajian, dan akan aktif bersama gerakan anak muda.

"Saya akan terus dalam dunia aktivis supaya keseimbangan akan terus berlaku," kata Safwan.

"Saya akan terus ke hadapan dengan dunia aktivis, tanpa mengira platform, tak kiralah melalui NGO atau sebagainya," kata Adam.

Tiada ulasan: