HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Jun 2013

Pelantikan ahli Parlimen ke GLC perlu berdasarkan kelayakan, kata pemimpin Umno

Oleh Md Izwan dan Amin Iskandar

Pelantikan Ahli Parlimen di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan perlu berasaskan kepada kelayakan dan pengalaman bagi memastikan ahli Parlimen yang dilantik mampu melaksanakan tanggungjawab, kata pemimpin Umno.

Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz menegaskan pelantikan dalam sesebuah GLC pula seharusnya tidak buat sekadar untuk mengisi kekosongan politik kerana tanggungjawab besar yang bakal dihadapinya terutamanya apabila berhadapan dengan lembaga pengarah dalam sesebuah GLC tersebut.

"Kalau sekadar mengisi kekosongan, tak banyak ahli-ahli Parlimen yang dapat bantu kembangkan syarikat atau sesuatu agensi kerajaan itu,” kata Othman apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

"Jikalau ahli Parlimen yang dilantik itu tak layak, dia sendiri akan rasa kerdil dikalangan ahli-ahli lembaga pengarah lain," tambah beliau.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah itu bersetuju supaya ahli Parlimen yang dilantik ke GLC perlulah terdiri daripada mereka yang berkelayakan serta mempunyai pengalaman bagi memastikan hala tuju organisasi tersebut.

"Bila nak lantik ahli-ahli Parlimen untuk masuk ke GLC atau agensi-agensi kerajaan ni, kenalah ahli-ahli Parlimen yang mempunyai kelayakan dari segi ilmu pengetahuan dan pengalaman.

"Ini kerana bila duduk sebagai board company atau lembaga pengarah, kena tahu hala tuju syarikat".

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsul Bari Jamali pula berkata ia adalah satu perkara baik kerana ahli Parlimen mempunyai pengalaman di peringkat akar umbi dan boleh memberi manfaat baik khususnya dalam menjaga kepentingan umum.

"Ia adalah perkara normal dan biasa yang dilakukan, ia sesuatu yang positif," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

"Saya berasakan ia ada baiknya diteruskan, kerana mereka (Ahli Parlimen) mempunyai pengalaman di peringkat akar umbi dan memahami kehendak umum... pada masa sama mereka dapat memastikan kepentingan umum dijaga," tambah beliau.

Samsul menambah keyakinan setiap ahli Parlimen yang dilantik mempunyai kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab dalam GLC kerana mereka terdiri daripada golongan profesional.

"Saya yakin mereka berkemampuan dan mempunyai berpengalaman tertentu, kebanyakkan ahli Parlimen ini yang terdiri daripada usahawan dan perniagaan... mereka ini semua daripada golongan profesional," terang Samsul lagi, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semarang.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Latiff Ahmad, bekas timbalan menteri pertahanan yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) menyifatkan pelantikannya ke dalam GLC adalah kerana kelayakan dan pengalaman yang dimilikinya, serta menyifatkan ia bukan suatu masalah besar walaupun luar daripada portfolio yang dipegangnya sebelum ini.

"Ia bukan suatu masalah portfolio baru ini walaupun berbeza dengan jawatan yang saya pegang sebelum ini.

"Saya yakin dengan pengalaman dan kelayakan yang dimiliki, saya boleh terajui organisasi," tambahnya.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan ahli-ahli politik kanan Umno akan menerima ganjaran, sekurang-kurangnya minggu hadapan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar kesetiaan mereka dengan pelantikan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC atau agensi kerajaan.

Diantara jawatan-jawatan yang kosong untuk ahli-ahli politik kanan ini adalah di Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tabung Haji, Perbadanan Nasional Berhad, kata seorang pegawai kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Senarai kekosongan dan jawatan yang akan kosong tidak lama lagi di GLC dan agensi kerajaan sedang disediakan untuk perdana menteri.

Diantara yang akan mengisi jawatan pengerusi adalah bekas Menteri Wailayah Persekutuan dan Perancangan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek termasuk Datuk Nur Jazlan Mohamed, Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim

Tiada ulasan: