Tindakan kerajaan yang terus menerus “mencurah” bantuan berbilion ringgit kepada sekolah vernakular menjadi ancaman besar terhadap usaha menyatupadukan rakyat bawah sistem sekolah satu aliran, kata Gabungan NGO Islam-Melayu.

Memetik pandangan mantan hakim Datuk Mohd Noor Abdullah, mereka berpendapat kewujudan sekolah vernakular lebih lima dekad bertentangan  dengan Artikel 152  Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sistem  pengasingan  melalui  pelbagai  aliran  telah  terbukti  dan  ternyata gagal malah membahayakan perpaduan masyarakat majmuk dan keselamatan negara,” menurut kenyataan mereka hari ini.

“Langkah  drastik  dan  berani  perlu  diambil  kerajaan  sekiranya  nasib dan  masa  depan negara  diutamakan  dan  rakyat  pula  perlu  bersikap  terbuka menerima  perubahan  demi  kebaikan bersama.”

Gabungan itu merujuk kepada laporan The Star berhubung 13 sekolah Tamil menerima bantuan RM20 juta untuk pelan tindakan bagi masa depan sekolah Tamil di Malaysia (PTST).

Dalam laporan itu, Menteri Pelajaran P Kamalanathan antaranya berkata, RM50,000 sehingga RM4.5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan sekolah, bergantung kepada keperluan masing-masing.

Bawah PTST, menurutnya lagi, RM540mil telah digunakan untuk menaik taraf 523 sekolah Tamil sejak 2009.

Perdana menteri juga baru-baru ini dilaporkan mengumumkan enam sekolah Tamil baru akan dibina di seluruh negara.