KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat akan menjadi medan terbaru bagi Pakatan Rakyat memperjuangkan pembersihan proses pilihanraya supaya pilihanraya ke-14 nanti tidak dicemari penipuan dan kepincangan yang mencacatkan PRU ke 13 bulan lalu.
Ini susulan daripada 34 petisyen yang difailkan Pakatan bagi mencabar keputusan PRU-13 dan siri himpunan rakyat Black505 yang mendapat sambutan hangat seluruh negara.
Ahli parlimen Pakatan akan terus mendesak supaya pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan dan pengganti mereka dipilih dan dipersetujui semua ahli parlimen, mahupun Pakatan atau Umno-BN.
Pakatan akan juga memastikan bahawa persempadanan semula kawasan parlimen dan dewan undangan negeri dijalankan dengan telus bagi memastikan prinsip satu pemilih, satu undi dilaksanakan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, antara perkara yang paling utama adalah mendesak supaya pimpinan SPR sekarang yang menjalankan PRU 13 digantikan dengan orang baru.
Tony berkata hanya pimpinan SPR yang baru dapat memastikan bahawa pembahagian kerusi dalam persempadanan semula akan berlaku dengan adil.
“Kita tahu walaupun PR dalam Parlimen adalah pembangkang, tetapi kita telah memperoleh 51 peratus undi berbanding Umno-BN yang hanya mendapat 47 peratus undi sahaja.”
Pakatan dan NGO seperti Bersih dan SAMM mendakwa PRU 13 yang berlangsung pada 5 Mei sarat dengan insiden penipuan dan pelanggaran peraturan SPR.
Ini seperti kehadiran warga asing yang diberikan kad pengenalan untuk mengundi, sekatan terhadap ejen Pakatan untuk mengawal kotak kertas undi awal, jumlah kertas undi yang tidak konsisten dan rasuah oleh calon atau ejen semasa tempoh berkempen.
SPR juga didakwa gagal melaksanakan dasarnya sendiri untuk menggunakan dakwat kekal.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata masalah sistem pilihanraya pernah dibangkitkan Pakatan dan masyarakat sivil sebelum PRU-13 lagi, namun ia tidak pernah diendahkan Kerajaan Persekutuan Umno-BN.
“Selagi SPR tidak dilihat sebagai bebas, tiada reformasi dalam peranannya serta tidak diletakkan di bawah Parlimen, maka ia akan terus dipertikaikan.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berpendapat, Pakatan akan memastikan tiada kelompongan terhadap sistem pilihan raya di masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan