Datuk Richard Riot Jaem
Datuk Richard Riot Jaem
 
SERIAN - Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot berkata beliau layak dilantik sebagai menteri persekutuan, yang menjadi hak mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ekoran gesaan pembangkang supaya beliau meletak jawatan kerana didakwa memiliki ijazah universiti palsu.
  
Riot, yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata tuduhan pembangkang itu tidak sepatutnya dibuat, tambahan pula mereka mempersoalkan integriti dan kebijaksanaan perdana menteri dalam melantik beliau sebagai menteri dalam Kabinet baru beliau.
  
"Sebagai perdana menteri, beliau (Najib) menggunakan kebijaksanaannya untuk menentukan sama ada saya layak menjadi menteri, dan ini termasuk kelayakan akademik saya, dengan memberi tanggungjawab kepada saya portfolio sumber manusia, sebuah kementerian yang sangat mencabar dengan 13 agensi di bawahnya," katanya.
  
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Pesta Birumuh 2013 dan program '1Malaysia Support For Housewives' dan Azam Kerja peringkat negeri di sini.
  
Sambil mengecam dakwaan itu, Riot, yang juga ahli Parlimen Serian, berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, jika perlu, terhadap tiga ahli Parlimen daripada DAP iaitu Ong Kiang Ming (Serdang), Zairil Khir Johari (Bukit Bendera) dan Julian Tan (Stampin) kerana membuat dakwaan itu yang mencemarkan imejnya, di luar Parlimen.
  
Ia dipetik oleh laporan online bahawa mereka menggesa Najib untuk meminta Riot dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ewon Ebin supaya meletak jawatan kerana memiliki ijazah palsu sekiranya perdana menteri serius terhadap integriti Kabinetnya.
   
Riot berkata beliau berada di Kementerian Sumber Manusia kerana ijazah pertamanya yang diperoleh dalam Sumber Manusia adalah dari University of Hertfordshire, United Kingdom manakala ijazah Sarjananya juga dalam bidang yang sama. - Bernama