HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Jun 2013

Dakwat kekal akan digunakan dalam PRK Kuala Besut, kata SPR

OLEH AMIN ISKANDAR, JENNIFER GOMEZ DAN ELIZABETH ZACHARIAH

Walaupun semalam Nurul Izzah Anwar dan pembangkang mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal, SPR mengatakan ianya akan tetap digunakan dalam pilihan raya kecil Kuala Besut tidak lama lagi.

“Ya dakwat kekal akan digunakan,” kata Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.

“Kita akan bincangkan minggu hadapan sama ada kita akan gunakan dakwat sama dengan PRU13 atau tidak,” tambah beliau merujuk kepada mesyuarat SPR minggu hadapan berhubung PRK Kuala Besut. DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam akibat kanser paru-paru.

Pakatan Rakyat (PR) turut mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang untuk memastikan keseluruhan kepimpinan SPR dipecat.

“Kita akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah.

“Mengapa kita boleh biarkan mereka terlepas begitu sahaja? Kami, pemimpin Pakatan Rakyat akan memastikan pegawai SPR yang curang dan diragui berhadapan dengan tindakan undang-undang. Ini adalah perkara asas dan penting.”

PR juga menuntut pasukan baru SPR menguruskan pilihan raya kecil itu. Ahli Parlimen itu juga menambah pasukan SPR yang sedia ada mempunyai masa untuk melakukan reformasi selama lima tahun tetapi gagal.

“Mengapa kita perlu biarkan mereka menggunakan dakwat sama apabila ianya telah mengecewakan satu negara?” soal beliau.

Dakwat kekal telah menjadi isu panas semenjak hari pertama ianya diumumkan akan digunakan. Semasa hari mengundi pada 5 Mei, dakwat kekal menggemparkan negara apabila ianya tidak kekal dan mudah dibasuh.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Dewan Rakyat pada Rabu dalam transkrip jawapannya tiada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal pada Pilihan Raya 2013 sebaliknya digantikan dengan pewarna makanan.

Shahidan berkata demikian dalam transkrip jawapan kepada pertanyaan ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu SPR menjelaskan kandungan dakwat kekal tersebut memandangkan ianya tidak berkesan kerana boleh ditanggalkan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan SPR semalam dengan berkata negara ini pada dasarnya tidak memerlukan penggunaan dakwat kekal, sebaliknya cukup menggunakan kad pengenalan untuk mengenal pasti individu tertentu sebagai pengundi.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata penggunaan dakwat kekal itu adalah atas permintaan pembangkang dari PR di Parlimen yang kemudiannya telah dipersetujui.

"Kita tak perlukan dakwat kekal ... untuk apa? Kita bukan negara (dunia) ketiga. Kita ada kad pengenalan yang boleh dikenal pasti.

"Dakwat kekal ini pembangkang yang minta di Parlimen dan kita setuju dan ikut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam. Ahli Parlimen Putrajaya itu menegaskan sebab dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya lalu tidak mengandungi bahan kimia berbahaya adalah bagi memastikan keselamatan rakyat.

Kata beliau, ia berbeza dengan dakwat kekal yang kekal sehingga dua bulan seperti yang digunakan di India, yang memberi kesan yang merbahaya kepada masyarakat.

"Sebab SPR sangat prihatin yang kimia itu akan menyakitkan orang ramai. Ini tanggungjawab kerajaan untuk menjaga rakyat," katanya.

Wan Ahmad turut mengatakan, SPR akan terus melantik badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati dalam PRK di DUN Kuala Besut.

“Akan ada pemerhati dalam PRK kali ini.” Dalam Pilihan Raya 2013, A. Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. BN pada ketika ini menguasai 17 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat (PR) mempunyai 15 kerusi.

Kematian A. Rahman menyebabkan BN hanya tinggal 16 kerusi dan kemenangan PR pada PRK akan datang akan menyebabkan DUN Terengganu tergantung.

Isu dakwat kekal boleh ditanggalkan antara penipuan didakwa PR dilakukan oleh SPR, malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran Black 505 di Petaling Jaya, menggesa orang awam untuk membuat laporan polis jika mereka berhadapan dengan isu dakwat kekal mudah tanggal daripada jari semasa pilihan raya 5 Mei lalu.

Tiada ulasan: