Othman Aziz
Othman Aziz
 
ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya melihat jumlah kerusi Dun genap yang boleh mendatangkan keputusan seri antara parti politik yang bertanding dalam proses persempadanan kawasan sejak dahulu lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, mungkin sebelum ini ahli politik terlepas pandang mengenai perkara itu kerana sebelum ini tidak pernah berlaku keputusan seri.

Bagaimanapun, beliau yakin SPR akan melaksanakannya dalam masa terdekat dan mereka pasti memerlukan sokongan daripada semua pihak.

“Kita juga sedar mengenai perkara itu, begitu juga SPR. Cuma kita kena sabar dulu kerana SPR memerlukan masa untuk mengendalikan proses itu.

“Selain melibatkan jumlah kerusi genap di sesebuah negeri, persempadanan semula juga perlu dilaksanakan untuk kawasan mempunyai bilangan pengundi yang ramai,” katanya semalam.

Othman berkata, sudah tiba masanya proses persempadanan semula dilakukan dalam masa terdekat selepas tertangguh sebelum PRU13.

Menurutnya, jumlah pengundi yang terlalu ramai di sesuatu kawasan khususnya parlimen yang luas seperti di Baling, Kedah menyukarkan pentadbiran dan tumpuan berkesan oleh wakil rakyat.

“Pendapat saya, jumlah pengundi antara 50,000 hingga 60,000 adalah sesuai bagi satu kawasan parlimen. Mana mungkin dengan keadaan pengundi yang ramai membolehkan ahli parlimen memberi tumpuan dan pentadbiran yang berkesan kepada rakyat.

“Jadi merujuk kepada kenyataan, Pengerusi DAP, Karpal Singh saya sekadar boleh kata, 'Karpal Singh, sabaq sat naa... (sabar dahulu),” katanya.

Sebelum ini, Karpal dalam satu kenyataannya meminta SPR menambah satu kerusi parlimen untuk negeri yang mempunyai jumlah kerusi genap.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi mengelakkan berlaku ‘parlimen tergantung’ jika kedua-dua parti memenangi jumlah kerusi yang sama.