Ugutan saman Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot terhadap
ahli-ahli Parlimen DAP berhubung dengan dakwaan mengenai ijazah palsu
disambut dengan sinis.
Riot, yang juga anggota Parlimen Serian, dilaporkan oleh agensi
berita nasional Bernama berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan undang-undang, jika perlu, terhadap tiga anggota
Parlimen daripada DAP iaitu Dr. Ong Kian Ming (Serdang), Zairil Khir
Johari (Bukit Bendera) dan Julian Tan (Stampin) kerana membuat dakwaan
itu yang mencemarkan imejnya, di luar parlimen.
“Saya alu-alukannya. Dan saya percaya semuanya akan didedahkan kepada
umum,” kata Ong ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Sebelum ini ketiga-tiga ahli Parlimen DAP itu mendedahkan, Riot mendapatkan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland) pada 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadibiran Perniagaan dari Preston University (Amerika Syarikat).
Menurut pemimpin-pemimpin DAP itu, universiti-universiti tersebut merupakan institut pengajian palsu.
Bagaimanapun, Riot berkata beliau berada di Kementerian Sumber
Manusia kerana ijazah pertamanya yang diperoleh dalam Sumber Manusia
adalah dari University of Hertfordshire, United Kingdom manakala ijazah
Sarjananya juga dalam bidang yang sama.
Sementara Zairil pula mempersoalkan mengapa Riot berdiam diri selama
ini kerana pendedahan ini telah dilakukan semenjak sebelum pilihan raya
umum ke 13 lagi.
“Kita tunggu ajalah. Dia masih belum jawab persoalan mengenai ijazah
yang dipaparkan oleh laman web kementerian sendiri,” kata Zairil kepada
The Malaysian Insider.
"Kenapa semenjak beberapa tahun dahulu semasa beliau (Riot) masih
lagi timbalan menteri luar, laman web kementerian menyiarkan maklumat
itu?" soal Zairil sambil mengatakan laman sesawang Wisma Putra
menyiarkan maklumat palsu.
Riot turut berkata, berkata beliau layak dilantik sebagai menteri
persekutuan, yang menjadi hak mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak, ekoran gesaan pembangkang beliau seharusnya diminta meletak
jawatan kerana didakwa memiliki ijazah universiti palsu.
Riot, yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)
berkata tuduhan pembangkang itu tidak sepatutnya dibuat tambahan pula
mereka mempersoalkan integriti dan kebijaksanaan perdana menteri dalam
melantik beliau sebagai menteri dalam Kabinet baharu beliau.
"Sebagai perdana menteri, beliau (Najib) menggunakan kebijaksanaannya
untuk menentukan sama ada saya layak menjadi menteri, dan ini termasuk
kelayakan akademik saya, dengan memberi tanggungjawab kepada saya
portfolio sumber manusia, sebuah kementerian yang sangat mencabar dengan
13 agensi di bawahnya," katanya dipetik dari Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan