HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mac 2010

Mengapa saya kekalkan orang Umno ....

DETIK DAILY



Wawancara Harakah dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, pada 22 Februari 2010, di pejabatnya di Shah Alam. Harakah diwakili oleh DINSMAN dan KASSIM MUHAMAD.

HARAKAH: Kenapa dipilih tema "Merakyatkan Ekonomi Negeri" sebagai dasar pentadbiran Tan Sri?

ABD KHALID IBRAHIM: Ini lama saya fikirkan, sebelum masuk politik arus perdana. Umpamanya semasa di PNB, Perbadanan Nasional Berhad - bagaimanakah punca-punca sumber negara ini dapatdigunakan untuk kebaikan rakyat.

Masa di PNB saya banyak tumpukan kepada Bumiputera, dan pada masa itu jelas jurang pendapatan dan pemilikan harta masyarakat Bumiputera dibandingkan dengan masyarakat lain sangat rendah, sampai dikatakan terpinggir. Dua peratus. Itu sebab kita terpaksa menerima hakikat melipatgandakan usaha supaya masyarakat Bumiputera ini dapat dipertingkatkan. Tapi kita mesti tahu menggunakan sumber. Bagaimana sumber itu digunakan.

Pada tahun 2006 ada satu forum KeADILan dan saya membentang kertas kerja mengenai "Merakyatkan Ekonomi". Saya baru masuk politik. Saya diminta membincangkan pasal merakyatkan ekonomi. Tujuannya, pada masa itu Malaysia kaya, jadi bagaimanakah kekayaan itu dapat disalurkan supaya rakyat dapat merasai nikmat pembangunan negara.

Namun yang paling penting kepada kita ialah bagaimanakah kita memastikan supaya jurang antara yang berada dan tidak berada itu dapat kita kurangkan. Ini bermakna bukanlah kita bertujuan memastikan semua orang menjadi kaya/berada, bukan. Kita mahu menyelesaikan masalah jurang; di antara yang kaya dan yang miskin. Kita tidak mahu terlalu sedikit orang memiliki jumlah pendapatan yang terbesar ataupun harta terbesar, misalnya hanya 10% atau 20% daripada penduduk negara kita memiliki 60% daripada harta dan pendapatan negara ini.

Keadaan ini akan menghasilkan situasi ketidakstabilan dan penggunaan sumber negara ini dengan tidak betul. Jadi lebih baik kita menuju ke arah lebih ramai masyarakat mendapat pendapatan yang sesuai, misalnya lebih daripada 60% penduduk negara kita memiliki 70-80% daripada sumber. Maknanya tak wujud keadaan hanya segolongan kecil saja rakyat yang kaya raya.

Ini bermakna kita akan besarkan kelompok kelas menengah. Konsep merakyatkan ekonomi memastikan kita membuat beberapa polisi kerajaan dengan menggunakan duit cukai yang akan memberikan kebaikan kepada lebih ramai masyarakat. Jadi jika lebih ramai yang mendapat faedahnya, kita telah merakyatkan ekonomi.

Contohnya kita membina sekolah untuk semua, dan pembinaan sekolah tidak dibeza-bezakan, sama seperti kita membuat jalan raya untuk semua rakyat. Kita telah bina jalan raya untuk kawasan yang sudah mempunyai pertumbuhan yang besar, dan kita mestilah juga membuat jalan raya kepada tempat yang belum maju, yang kadar pertumbuhannya masih kecil, supaya terdapat perseimbangan pembangunan pada masa hadapan.

Itulah yang kita lakukan. Sekarang di Selangor persoalannya, bagaimanakah kita menterjemahkannya, merakyatkan ekonomi ini, dan saya berterima kasih kerana dapatmendengar pandangan tentang penggunaan sumber-sumber ini. Sebagai contoh pandangan sesetengahpihak yang bertanya air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat, kenapakah orang-orangyang kayajuga diberikan air percuma? Itu untuk 20 meter padu pertama. Jadi kalau sesiapa yangguna lebih banyak, dia perlulah bayar harga pasaran.

Di samping itu ada yang kita laksanakan untuk rakyat yang memerlukan. Contohnya biasiswauntuk masuk universiti. Dapat saja tawaran untuk masuk universiti, kita utamakan yang miskin,yang pendapatannya di bawah RM1,500 sebulan. Kalau dia tunjukkan bukti ini, kita berikanRM1,000.Jadi ada caranya kita bezakan. Yang kaya tak payahlah. Kedua, kita juga asingkan wargaemas, misalnya insurans untuk khariat kematian.

Dalam konteks ini kita harus jelas, merakyatkan ekonomi bukanlah mengagihkan kekayaan. Dasar Ekonomi Baru dulu kita memikirkan tentang pengagihan harta. Dan hal ini sangat sukar dilaksanakan kerana harta itu ada turun naik, dan sudah tentulah orang yang mempunyai harta terlalu banyak pun tidak akan melepaskan hartanya.

Jadi maknanya kalau kita bercakap tentang harta, kalaulah dia sudah dapat 100 juta, dia akan kata, "Ah, ini terlalu banyak, saya serahkan baliklah 20 juta kepada orang lain." Tak ada, tak ada. Itu tak akan terjadi. Jadi kalau itulah konsepnya, sangat sukar. Orang Melayu yang kaya pun tak akan melepaskan kekayaannya. Orang yang gelangnya sesiku pun tak akan berikan setengah siku kepada orang lain. Jadi konsep DEB itu mesti diteliti semula.

Ini bermakna asas ekonomi masa hadapan itu mestilah berteraskan kepada peningkatan pendapatan. Jadi akhirnya, akhirnya, bukan sekarang, kita dapat seimbangkan kedudukan ekonomi. Konsep peningkatan pendapatan ini berbeza daripada pengagihan harta. Dan peningkatan pendapatan ini berteraskan pendidikan. Itulah sebabnya kita berikan perhatian terhadap pendidikan, kemahiran dan kesempatan.

Dalam tempoh yang singkat ini adakah kesannya?

Ya. Mari kita lihat contoh, iaitu tumpuan yang kita berikan kepada mereka yang tidak memasuki universiti, kira-kira 80 peratus. Kalau kita tumpukan hanya kepada yang 20 peratus yang masuk universiti, ini bermakna yang tidak masuk universiti akan terlepas peluang. Dan kita akan rugi kerana yang 80 peratus ini tidak diberikan perhatian. Itulah sebabnya kita mula menyokong sekolah INPENS International, iaitu untuk mereka perolehi kemahiran teknikal seperti draftsman, welder atau perbaiki komputer. Kita sokong ini kerana permintaan untuk tenaga-tenaga seperti ini juga wujud.

Di Selangor, tumpuan kita yang pertama ialah semua orang mesti dapat kerja. Kedua, dia mestilah dapat tingkatkan pendapatan. Contohnya, yang bekerja di KFC kita suruh dia bersekolah malam, untuk tingkatkan kemahiran, misalnya menjaga akaun. Dengan cara ini pendapatannya meningkat. Seorang yang buat kerja welding, dia pergi berkursus selama 6 bulan dan dapat sijil untuk berkerja dalam bidang oil dan gas, akan mendapat pendapatan yang jauh lebih tinggi.

Ini bermakna kita pastikan mereka bekerja dan kemudiannya mereka tingkatkan pendapatan. Kalau dulu dua orang yang bekerja, sekarang empat orang yang bekerja, dan pendapatan akan meningkat. Dan ini akan memperbaiki masa depan. Anak-anak mereka akan mendapat pendapatan dan peluang yang lebih.

Semasa di PNB dulu Tan Sri terlibat dalam DEB, mungkin Tan Sri dapat melihat kelemahan yang dikenal pasti ...

Masa saya di PNB orang terkejut dengan fund 500 juta. Ada yang bertanya bagaimana orang-orang Melayu memiliki duit yang cukup untuk membeli sebanyak itu? Tapi orang lupa bilangan orang Melayu yang terlibat, lima juta. Konsep itu, untuk mengagihkan kekayaan ini, tidak boleh diteruskan. Itu adalah sejarah masa lalu. Yang jelas orang Melayu tidak memiliki duit yang cukup untuk meningkatkan simpanan. Kadang-kadang pendapatannya tidak cukup untuk menampung perbelanjaannya. Itulah sebabnya kita tidak boleh berikannya percuma.

Itulah sebabnya kaedah dan cara untuk orang Melayu dapat meningkatkan pendapatan itu sangat penting. Ini bermakna kedua-dua program ini penting, iaitu program meningkatkan pendapatan dan program pengagihan kekayaan untuk mereka yang miskin, diadakan dari semasa ke semasa.

Ada satu aspek yang sangat penting, kenapa kemahiran dan ilmu mesti diperhatikan. Malaysia sekarang sangat globalised, jadi untuk mengagihkan harta bukanlah caranya lagi, tak terbuat lagi. Itulah sebabnya kemahiran dan peningkatan pendapatan sangat penting.

Kita juga berikan perhatian terhadap kesejahteraan keluarga, misalnya kes tapak-tapak rumah yang berpuluh-puluh tahun ditempati sebagai tanah TOL. Kita kata tak payah pohonlah, anda dapat, tak kira parti atau apa.

Lagi satu aspek penting ialah hujah bahawa Merakyatkan Ekonomi ini tidak memberikan peluang kepada orang Melayu. Itu tidak benar, kerana yang terbanyak adalah orang Melayu. Ini bermakna tanpa DEB orang Melayu akan terpinggir itu tidak benar. Tak ada sesiapa yang akan terpinggir.

Di samping itu kita juga harus ingat bahawa proses membuat keputusan akan memihak kepada yang ramai. Contohnya membeli kapal terbang untuk Perdana Menteri, itu untuk seorang saja, sementara membina sekolah itu untuk kepentingan ramai; walaupun membeli kapal terbang untuk seorang itu kadang-kadang juga penting. Maknanya kita ada asas yang kukuh untuk membuat sesuatu keputusan.

Ini bermakna hal-hal seperti pendidikan, kesihatan, kemahiran, itu teratas; kerana itu untuk rakyat. Sementara membina masjid yang paling besar, itu keutamaan kedua. Itulah sebabnya Merakyatkan Ekonomi bermakna keutamaan adalah rakyat. Itulah sebabnya saya hendak kita yang mengurus air, dan tak mahu lagi dikawal swasta.

Masalah air itu masih belum selesai ...

Ya masih belum selesai, dan kita terus berusaha. Dengan tidak menswastakan air kita dapat memberikan harga terbaik untuk seluruh rakyat. Bagi saya segala yang untuk kepentingan rakyat tidak perlu kita swastakan. Kita berikan kepada rakyat, seluruh rakyat.

Kita akan terus berusaha kerana kita percaya lambat laun rakyat akan faham juga kenapa kita terus berusaha. Biarlah perkara ini dipolemikkan, biar rakyat faham apa yang sedang kita lakukan.

Mungkin di sini saya bercakap politik. Umno tidak mahu perubahan, kerana dia sudah selesa tanpa perubahan. Dia selesa dengan cara lama kerana cara lama menguntungkan sesetengah pihak.Tapi kita perlukan pemikiran dan cara baru. Kita perlu mentadbir negeri dengan cara yang terbaik supaya lebih efisien. Cara lama tidak lagi efisien. Jadi kita kena cari cara baru. Cara lama itu terlalu discriminatory ...

Yang dibangkitkan tadi itu, kalau kita melihat logiknya memanglah begitu. Tapi untuk menerangkan kepada rakyat ...

(Ketawa) Itu satu kelemahan saya. Saya boleh bercakap tentang konsepnya tapi konsep itu kadang-kadang tak sampai ke bawah. Konsep itu trickling, menitis, bukan mencurah. Tapi saya percaya perkara ini mesti dilakukan dengan cara pelaksanaan, bukan dengan bincang-bincang.

Kalau kita dapat tunjukkan performance, insya-Allah, sekarang kita telah mula nampak coraknya sudah berubah. Kita mesti jelaskan. Serupalah dengan menjual amanah saham dulu, tahun kelima baru dapat ramai orang. Bila dia tengok dividen dan bonus, 10%, 20% baru dia mula masuk. Sekarang dia dah faham.

Mungkin juga manusia itu lebih senang tersentuh emosinya. Jadi dalam hal-hal begini merugikan untuk politik itu ...

(Ketawa) Itu payah sikitlah. Tapi pada saya, saya bagi tahu rakan-rakan, sebab saya masuk reformasi ini kerana mahukan perubahan, dan perubahan ini bukannya senang. Masyarakatsudah selesa. Sebab itu saya katakan DEB itu sudah sampai hadnya. Dia sudah berjaya menolong, bukannya tak berjaya. Tapi bila sampai satu tahap, ia mencapai tahap deminishing return, titik nilai faedah sut. Jadi masyarakat mesti diubah. Apabila dia lihat kita tunjukkan bukti, dia akan percaya.

Dalam masa Tan Sri melaksanakan semua ini, apakah cabaran yang paling besar?

Cabaran yang paling besar ialah mengurangkan masyarakat kita berpolitik dengan cara lama. Sebagai contoh, di zaman Umno dulu ada kumpulan tertentu yang mendapat layanan istimewa atau preferential treatment. Sebabnya bila kita bercakap rakyat, maknanya semua. Ada setengah tu mendapat kerja tak payah bertender, tak payah diukur. Oleh kerana kuasa itu terletak di tangan Menteri Besar, dia ingat Menteri Besar akan gunakan kuasanya untuk rakan-rakan seperjuangan.

Kalaulah cara itu kita teruskan, maknanya kita tak ada perbezaan. Konsep Merakyatkan Ekonomi ini tak boleh pakai langsung. Jadi sukar, sangat sukar. Dalam masa 6 bulan hingga 8 bulan pertama, itu sangat sukar. Tapi sekarang sudah dekat dua tahun, dah tak ada ramai lagi orang datang ke pejabat Menteri Besar. Maknanya itu menunjukkan perubahan. Tapi sukar. Saya rasa itu yang paling sukar.

Kedua, nak tunjuk kepada taukeh-taukeh bisnes bahawa dia tak payah bayar kita untuk membuat kerja pentadbiran. Tapi dia kena buat kerja bisnes yang betul. Kalau nak buat rumah murah, dia kena buat rumah murah. Dia jangan kelentong kita. Dengan cara itu kita menunjukkan yang kita buat bisnes dengan baik dan kita laksanakan khidmat kebajikan yang baik.

Saya rasa orang-orang yang berkuasa dulu masih rasa mereka masih menguasai pentadbiran, dan nak menguasai pentadbiran. Dan dia ingat kita nak ikut cara dia. Dia ingat kita terima rasuah, salah guna kuasa. Dia cek saya bagi lembu. Jadi dia ingat seorang yang menjadi Menteri Besar akan jadi seperti dia. Itu yang saya rasa. Tapi itu pun bagus juga, kita dapat berjaga-jaga.

Tidak semestinya apa kita buat ini seratus peratus betul. Tapi kita akan mencuba seratus peratus. Kalau tak betul, kita betulkan balik. Kita terima hakikat untuk memperbaiki. Misalnya, kita dapati air yang kita bagi percuma kepada semua orang ini, tidak begitu bagus. Untuk orang kaya lebih baik kita tak usah bagi langsung.

Misalnya kita kaji, mereka yang membayar bil air melebihi RM250 sebulan, kita tak payahlah bagi RM25 percuma, duit itu kita bagi kepada yang lain. Itu satu contoh. Anak yang belajar dan bapanya bergaji RM15,000 sebulan, kita minta bapanya bayar setengah. Itu contoh-contoh yang boleh kita kaji dan gunakan untuk perbaiki khidmat kita.

Ada satu perkara yang orang selalu komplen. Sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor Tan Sri banyak menyimpan orang-orang lama, dan itu yang menimbulkan masalah.

Dari segi organisasi, bagi saya yang penting ialah delivery, maknanya hasil. Kalau kita ada masa 15 tahun atau 10 tahun, kita ada masa untuk melatih orang. Melatih orang memakan masa, sedangkan kita tak punya masa untuk itu. Lebih baik kita ambil orang yang lebih pengalaman, contohnya Pengurus Besar PKPS saya ambil seorang yang berpengalaman daripada Guthrie sebab dia tahu ...

Maksudnya orang-orang Umno yang Tan Sri masih maintain ...

Pada saya, saya tidak akan alih orang itu kalau dia boleh buat kerja. Dari segi keadilan pun itu penting. Kalau katakanlah dia ahli Umno dan dia boleh buat kerja ... Kalau itu polisi kita, mengalih orang, bila kita pergi, beratus akan diberhentikan.

Kalau demi untuk keadilan dan untuk Pakatan Rakyat, kalau kita dapat memenangi hati mereka dan mereka bekerja kuat untuk kita, harapan kita lebih cerah. Dia tahu bezanya.

Tak bimbangkan sobataj?

Kalau ada pun, akan ternampak. Dia punya performance dan kita punya performance, kita nampaklah. Kalau dia lakukan, akan terserlah. Masa itu dia tidak lagi efisein. Kita ada sebab, bukan kerana parti atau apa. Itu boleh. Macam kes lembu, ada yang pantau dan laporkan.Tapi demi keadilan dan kemanusiaan kita tidak mendera pegawai-pegawai kerajaan. Itu cukup jelas.

KDNK Selangor adalah yang tertinggi di negara ini, apakah formula yang Tan Sri guna untuk ...

KDNK Selangor melebihi 20 peratus KDNK negara. Ini bermakna Selangor sudah ada momentum untuk pertumbuhan. Kalau Selangor tak ada pertumbuhan, negara kita akan meleset. Sebagai satu negeri, satu konsep yang penting ialah mewujudkan persekitaran yang bagus, menggalakkan untuk pertumbuhan. Maknanya we set the environment for growth.

Bila orang datang ke negeri Selangor dia yakin persekitaran itu baik. Itu yang paling penting, walaupun istilah itu terlalu umum. Sekolah ada, universiti ada, peluang dapat kerja ada, keselamatan terjamin, rasuah tak ada. Maknanya persekitaran baik untuk pertumbuhan. Kita ada bilangan universiti yang paling banyak. Bagaimanakah kita memberikan peluang pekerjaan untuk lulusan yang ramai itu nanti? Itu semua kita kena berikan perhatian yang bersungguh-sungguh.

Kita juga tidak melupakan asas kita, misalnya padi. Sekarang di Selangor, sebelum 2008 lagi, peratus keluaran padi kita yang tertinggi di Malaysia. Tapi kita dapati terdapat juga jurang antara mereka yang tertinggi di Sekincan dan mereka di seluruh Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam. Jadi bagaimanakah kita nak pastikan seluruh kawasan itu juga tertinggi keluaran padinya. Kita sudah ada programnya. Kita nak lihat hasilnya dalam tahun 2011.

Kita juga menemui usahawan muda. Bagaimanakah kita dapat membantu supaya mereka sampai ke peringkat antarabangsa. Itu yang kita maksudkan dengan setting the environment yang terbaik. Mak cik buat kerepek yang cukup sedap, tapi packagingnya tak baik, kita berikan nilai tambah dengan packaging yang jauh lebih bagus.

Selama dua tahun Pakatan Rakyat memerintah, bagaimanakah kadar kemiskinan di Selangor?

Ada petunjuknya yang boleh kita lihat. Pertama, kalau semua orang bekerja; dan kedua, gajinya juga tidak kurang dari gaji minima. Dari segi teorinya ada juga dua peratus yang tidak dapat bekerja kerana terlalu tua atau uzur. Ini teorinya.

Di Selangor, kita alami akhir 2008, ekonomi kita mulai tidak begitu selesa, dan pada awal 2009 saya sudah mulai ada jawatankuasa pemandu untuk mereka yang diberhentikan kerja. Kita kena cari jalan untuk atasi masalah ini, kita dapatkan sumber zakat untuk membantu mereka yang diberhentikan kerja. Sekarang insya-Allah ...

Tan Sri, berbalik kepada soalan Sekinchan tadi, kalau kita tengok betul-betul ada kumpulan masyarakat yang berbeza sebenarnya. Adakah kalau Tan Sri sebut Sekinchan itu lebih produktif dan lebih bagus disebabkan oleh budaya kerjanya atau disebabkan oleh ...?

Ah, itu hipotesis yang lamalah. Itu yang lama, tak betul. Sekarang dekat Tilam Buruk pun sudah sama dengan Sekinchan. Itu hipotesis lama, tak boleh pakai. Orang semua malas. Itulah sebabnya kita perlukan new frame of thinking, cara berfikir yang baru. Mula-mula pegawai saya kata, pengsanlah ...

Kalau sistem pengeluarannya sama, semuanya sama, airnya sama, kita halusi satu persatu. Berapa jam orang bekerja di Sekinchan, berapa jam kita bekerja? Apakah yang dia buat, apakah yang kita tidak buat? Bila dia masuk baja, bila pula kita? Bila dia tuai, bila pula kita tuai? Kita buat semuanya. Kita ada senarai semak. Itu sebulan setengah kita buat, sampailah kita baling kertas: Ini tak boleh!

Maknanya kena evaluate, nilai betul-betul. Lepas itu kita test, kiat panggil MardiTech test. Sekarang petani itu sendiri, apakah nilai PH airnya pun dia tahu. Bila dia nak baja pun dia ahu. Kita ketahui masanya.

Jadi kalaulah teknik kita serupa dengan Sekinchan, keluaran kita mesti serupa. Tapi kita tengok Sekinchan kerja, kita tidak kerja, bukan macam itu. Ada prosesnya. Kalau standardnya sama, pengeluarnnya sama, hasilnya samalah. Macam dalam ISO. Kalau nak beza, sikit-sikit. Di Sekinchan dia tak tabur padi. Kalau tabur, pengeluarannya sudah kurang 30%. Jadi dia tanam, dan dengan menggunakan mesin, bukan pakai kuku kambing.

Semua ini kena jelaskan, kita kena tunjuk. Kita tak boleh kata "marilah kita tingkatkan hasil padi:. Kita perlu tunjukkan. Maknanya kita perlu fikir dengan terperinci, dan laksanakannya dengan memberikan contoh.

Tiada ulasan: