HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2011

Lebih 1,300 dipindah, banjir makin buruk di Johor

KUALA LUMPUR — Hujan yang berterusan di Johor memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan selain memutuskan hubungan ke Segamat dan mengancam beberapa bandar lain, mencetuskan kebimbangan berulangnya banjir besar empat tahun lalu yang turut mengorbankan enam orang.

Seramai 1,339 orang telah dipindahkan setakat pagi tadi dengan 16 kampung di Segamat dinaiki air setinggi satu meter.

Menurut beberapa penduduk tempatan di kawasan Segamat, situasi semakin buruk berbanding keadaan yang disaksikan di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan sepanjang minggu ini.

Pemandu-pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan di tepi jalan memandangkan tiga sungai di Johor melimpah dan lima sungai yang lain dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran.

Polis telah menutup beberapa jalan termasuk laluan utama antara pekan Labis dan Segamat.

Sistem pengangkutan awam juga terganggu dengan KTM membatalkan perkhidmatan yang merentasi Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dijangka bercakap kepada pemberita di Labis mengenai keadaan banjir.

Hujan lebat juga menjejaskan pilihan raya kecil kerusi Tenang dengan hanya dua pertiga keluar mengundi semalam.

Laporan Bernama pula menyebut kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah di Negeri Sembilan dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan beberapa kawasan di daerah tersebut dilanda banjir akibat hujan sejak semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tampin berkata seramai 1,545 mangsa di daerah kecil Gemas dan daerah Tampin dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di dua daerah itu.

Katanya 416 mangsa dipindahkan di Sekolah Tunku Abdul Rahman, Dewan Kampung Tiong (64 mangsa), Balai Raya Kampung Ladang (4), Masjid Kampung Londah (38), Dewan Sungai Kelamah (260), Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4 (125), Balai Raya Kampung Parit Buluh (325) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalor (150).

Pusat pemindahan lain ialah di tokong Buddha Air Kuning (25), Sekolah Kebangsaan Ladang (54), masjid Kampung Gedok, Gemencheh (20), Masjid Kampung Sungai Dua, Gemencheh (35) dan satu pusat pemindahan di daerah Tampin di surau Kampung Keru Hilir, Repah (29).

Sementara itu, di daerah Jempol 235 penduduk dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan banjir di daerah itu.

Seramai 88 mangsa dipindahkan di pusat kokurikulum kawasan Jempol di pekan Jelai, Sekolah Kebangsaan Palong 1 (80), Balai Raya Kampung Baru Rompin (24) Balai Raya Kampung Datuk Johan (20), Sekolah Kebangsaan Rompin (13), Balai Raya Kampung Dusat, Air Hitam (6) dan Dewan Orang Ramai Ladang Geddes (4).

Di daerah Kuala Pilah pula tiga pusat pemindahan dibuka di mana 77 mangsa dipindahkan ke Dewan Besar Dangi, Dewan Bandaran Majlis Daerah Kuala Pilah (51) dan Balai Raya Kepis (13).

Negara jiran Singapura juga berhadapan dengan banjir ketika itu dan hari ini bahagian timur republik itu juga dilaporkan mengalami banjir.

Seorang pembaca akhbar Straits Times Singapura berkata, hujan menyebabkan jambatan di kawasan yang separuh siap dibina di kawasan Punggol hampir runtuh.

Meskipun kawasan sekitar lapangan terbang Changi turut banjir tetapi tidak menjejaskan jadual penerbangan.

Tiada ulasan: