HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2011

Pakatan Rakyat Janji Bangunkan KL Secara Holistik, Seimbang


Oleh Suara Keadilan

klKuala Lumpur adalah pusat kebudayaan, ekonomi dan kewangan Malaysia. Ianya merupakan kawasan yang paling pesat membangun dari sudut jumlah penduduk dan ekonomi negara, dengan anggaran 1.7 juta penduduk (2010). Bandaraya ini menarik lebih 9 juta pelancong setahun dan punya KDNK sebanyak RM77 bilion.

Walaupun Kuala Lumpur telah menjadi sebahagian dari Wilayah Persekutuan lebih 37 tahun, kualiti kehidupan di Kuala Lumpur semakin teruk. Lapangan, taman-taman, dan tanah awam telah dijual kepada pemaju untuk membina tanpa mempertimbangkan warisan KL, namun prasarana awam seperti pengangkutan dan perumahan awam diabaikan. Taman-taman awam pula memerlukan penyenggaraan yang lebih baik.

Tahap jenayah meningkat dan memaksa rukun tetangga dan persatuan-persatuan penduduk mengupah syarikat pengawal keselamatan swasta dan menubuhkan komuniti-komuniti berpagar, dengan kos yang ditanggung sendiri oleh rakyat. Malah taraf latihan para pengawal keselamatan ini tidak terselia.

Upah permulaan purata bagi seorang graduan di KL hanyalah RM1,600, yang turun dari RM1,800 sepuluh tahun lalu. Peningkatan gaji tahunan cumalah 4.7%, antara terendah di dunia.

Pada masa yang sama, harga rumah-rumah sekitar Kuala Lumpur telah meningkat ke purata RM500,000 dan hal ini menyusahkan anak-anak muda yang baru berkahwin untuk memiliki rumah. Walaupun golongan miskin tegar kononnya telah tiada, namun golongan miskin masih wujud di kota malah semakin meningkat sejak 1998.

Ketidaksamaan adalah masalah yang serius - koefisien Gini bagi Malaysia adalah 0.461 pada 2009 - dan menjadi faktor mendorong peningkatan masalah penyakit sosial. Sudah pasti tahap ketidaksamaan yang tinggi bukan sahaja melembapkan ekonomi Kuala Lumpur, malah juga Malaysia amnya.

Dengan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan mengakui kewujudan masalah-masalah ini dan akan bertungkus-lumus untuk menyelesaikannya dengan rancangan reformasi 100-hari kami, walaupun butiran terperinci serta statistik dalam Wilayah Persekutuan tidak diperolehi daripada kerajaan pusat. Tentunya rancangan reformasi ini akan disesuaikan mengikut maklumat yang jitu dan terperinci.

Apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih Kerajaan Pusat, Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan berjanji untuk:

1) Menjalankan inisiatif baru untuk mengkaji semula dan memperbaiki bangunan-bangunan Pusat Perumahan Rakyat (PPR), yang mampu mengubah kehidupan golongan berpendapatan rendah serta membina komuniti-komuniti baru yang sihat dan teguh.

2) Melaksanakan cadangan-cadangan transit yang akan mengintegrasikan sistem pengangkutan awam, dan pada masa yang sama mempertingkatkan prasarana awam seperti menambahbaik jalan-jalan raya serta tempat-tempat letak kereta agar mampu menjana sebuah persekitaran sosial dan perniagaan yang mampan.

3) Melaksanakan inisiatif sedia ada Kerajaan Pusat ke seluruh Wilayah Persekutuan, di mana kita akan membina pusat-pusat pengajian di Zon-zon Bandaraya langsung melahirkan Budaya Pembelajaran Cemerlang.

4) Melaksanakan jaringan CCTV menyeluruh lagi berkesan, kukuh dan diintegrasikan dengan badan-badan yang berkenaan seperti hospital, polis, pengawalan trafik dan sebagainya, serta melahirkan unit polis sokongan bagi menangani peningkatan kadar jenayah yang sebenar.

5) Mengadakan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Wilayah Persekutuan tahunan untuk mempromosi kebudayaan Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada perpaduan komuniti dan pembangunan anak muda.

6) Memperkenal dasar-dasar yang lebih mesra perniagaan seperti badan pelesenan contohnya PEMUDAH untuk menarik minat serta memberi semangat kepada para usahawan dan pemilik perniagaan untuk memulakan perniagaan mereka di Kuala Lumpur, sementara melaksanakan langkah 7 (seperti di bawah).

7) Menubuhkan badan bertindak untuk mengkaji dan mengutarakan langkah-langkah berkesan yang akan membolehkan adanya Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur.

8) Mengkaji dan menggubal dasar-dasar yang akan melindungi alam sekitar di Kuala Lumpur, terutamanya kawasan hutan dalam lingkungan bandaraya serta melaksanakan konsep “indeks bandaraya hijau”.

Sempena Hari Wilayah 2011, inilah janji-janji kami Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan yang akan kami kotakan demi memastikan negara tercinta kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020, dan menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bandaraya yang sejahtera.
Disokong:

YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak

YB Nurul Izzah binti Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai

YB Chua Tian Chang, Ahli Parlimen Batu

YB Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang

YB Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Segambut

YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras

YB Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Kepong

YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh

YB Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa

15 ulasan:

azman berkata...

jika benar PR ingin bangunkan KL secara hlistik dan seimbang, buktikan dahulu dengan melakukannya dinegeri-negeri yang ditadbir oleh PR.

azman berkata...

PR banyak menaburkan janji, lebih baik jika mereka tunaikan dahulu janji-janji yang lama sebelum membuat janji yang baru.

Tanpa Nama berkata...

benarkah PKR mampu melaksanakannya.

Unknown berkata...

Susah kita mahu percaya..Janji senang dikatakan tapi satu pun susah untuk dikotakan..

Unknown berkata...

Impian perlu ada, tapi yang penting usaha untuk melaksanakan.

nickko berkata...

bagaimana dengan rumah2 di Pulau Pinang yang kosnya mencecah setengah juta malah ada rumah yang diperuntukkan kepada orang luar, bukannya orang tempatan. bagaimana dengan masalah2 sosial di selangor? kenapa tidak selesaikan dulu masalah2 yang wujud di negeri2 Pakatan sebelum meyakinkan rakyat kononnya berjanji akan menyelesaikan masalah negara.

nickko berkata...

apa perubahan yang hendak dilakukan oleh pembangkang di KL? merampas tanah yang telah diusahakan? merobohkan premis2 yang telah lama beroperasi? mengurangkan penduduk KL? semua perubahan yang hendak dibawa banyak menjurus kepada perbelanjaan.. bukankah ini akan membawa masalah yang lebih besar kepada negara...

Paquin berkata...

Setakat janji tanpa pelaksanaan adalah sia2 saja.

Paquin berkata...

Apapun, kita tunggu dan lihat sajalah nanti. Politik ni memang sukar diramal, kerana semuanya berubah bergantung pada masa dan keadaan.

Tanpa Nama berkata...

kemiskinan berlaku di seluruh negara..jika fokus kepada satu2 kawasan sahaja maka isu ini tetap tidak ada penyelesaian..

Tanpa Nama berkata...

ketidaksamaan memang masalah..namun untuk sama rata adalah mustahil..lainlah kalau sistem kita ditukar..paling tidak pun, hanya segelintir masyarakat yang akan mendapat keuntungan..

Tanpa Nama berkata...

dan mengapa fokus kepada KL sahaja? KL sudah maju..kawasan2 lain bagaimana? atau PR hanya berminat kepada RM77b itu?

Anak Sabah berkata...

Untuk memastikan sama ada PR mampu melakukannya. Kita lihatlah negeri pentadbiran mereka.

Antanum berkata...

Pakatan Rakyat bangunkan dulu negeri2 dibawah naugan mereka dengan sekata. Barulah bercakap tentang KL yang besar itu.

Antanum berkata...

Jangan menjanjikan sesuatu hanya untuk mendapatkan undi!