HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2011

Cikgu Mala berkarisma, lebih bertanggungjawab

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Calon BN bagi pilihan raya kecil Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim sehingga hari ini masih lagi gagal menjawab dakwaan terhadap beliau yang melelong tanah penduduk semasa menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Oleh itu, beliau tentunya dilihat oleh orang ramai bukanlah sebagai seorang yang layak dipilih dalam pilihan raya Dun Tenang 30 Januari ini kerana tidak selayaknya menjadi pemimpin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya calon BN itu tidak bersalah, beliau pasti sudah dapat menjawab dakwaan terhadapnya itu, tetapi sehingga kini beliau tetap gagal menjawabnya.

Menurut beliau, sebaliknya, semua kenyataan yang dibuat oleh calon BN itu berhubung dakwaan tersebut bukanlah jawapannya, sebaliknya jauh menyimpang dari jawapan dan realiti sebenar.

"Keadaan itu amat jauh bezanya dengan calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang sememangnya diketahui umum sebagai seorang yang baik, berkarisma dan bertanggungjawab.

"Keistimewaan Cikgu Normala itu bukan hanya pada mata saya, tetapi turut diakui oleh penduduk di kawasan Tenang sendiri dan mereka yang mengenalinya," katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu, keistimewaan Cikgu Normala juga, katanya, boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai apabila beliau pernah dianugerahkan dengan anugerah guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri sewaktu beliau menjadi guru dulu.

Mohd Azahar sewaktu menjadi ADO didakwa dengan cuai telah melelong tanah seseorang secara tidak sah dan tidak mengikut prosedur.

Semua kesalahannya itu sudah terbukti apabila keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada tahun 2008 sudah pun mengarahkan tanah tersebut dipulangkan kepada pemilik asalnya, Mansor Mohamad bersama kosnya.

Azahar akan dibicarakan di dalam satu tuntutan saman di mahkamah oleh pembeli tanah Mansor melalui lelongan tersebut iaitu Norhana Mohd Ali yang mendakwa terpedaya oleh Azahar, sehingga menyebabkan beliau membeli tanah Mansor secara lelongan yang disyaki palsu dan tidak sah itu.

Menurut Nurul Izzah, kes yang dihadapi oleh Azahar itu tidak mampu disembunyikan oleh beliau kepada orang ramai terutama kepada penduduk di kawasan Tenang, sehingga menyebabkan semakin ramai orang yang semakin hilang keyakinan terhadapnya.

"Ini amat berbeza dengan Cikgu Normala yang sememangnya semakin mendapat tempat di hati para pengundi di kawasan itu.

"Buktinya, semasa saya pergi ke Tenang Selasa dan Rabu lalu dan mengadakan ceramah di kawasan felda, ramai penduduk di kawasan itu yang hadir.

"Jumlah kehadiran mereka ratusan orang. Ini amat jauh bezanya ketika saya mengadakan ceramah di kawasan felda lain termasuk di kawasan Felda Suharto," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.

Kehadiran dengan jumlah itu di kawasan felda, menurut beliau, merupakan satu jumlah yang besar.

Ini jelas membuktikan Cikgu Normala dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya itu semakin diterima oleh orang ramai, setelah didedahkan kepada orang ramai tentang keistimewaannya oleh para pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau yakin Normala mempunyai harapan besar untuk menang dalam pilihanraya itu, memandangkan para pengundi di kawasan itu sendiri ternyata amat senang kepadanya.

Namun, beliau turut kesal kerana Umno atau BN terus menggunakan politik kotor dalam kempen mereka di Tenang, termasuk menggunakan politik mengugut para pengundi dengan ugutan yang bukan-bukan agar mereka tidak menyokong calon PAS.

Tiada ulasan: