HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2011

PRN Sarawak: Taib ‘tunggu ilham’

Kuasa dan ilham KM Sarawak sukar dibaca dan diramal

ANALYSIS


Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sepatutnya diadakan sebelum Julai akan datang menjadi isu dan perbincangan hangat oleh pimpinan kerajaan dan rakyat Sarawak semenjak awal 2010.

Ini disebabkan terlalu banyak spekulasi daripada pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyatakan kuasa dan ilham Ketua Menteri (KM) merangkap Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang sememangnya sukar dibaca dan diramal pada pilihn raya kali ini.

Ini termasuk respon Taib yang sering diajukan soalan oleh media dengan menyatakan ‘tunggu ilham’ dan perbincangan beliau dengan mesyuarat kerajaan negeri dan berbagai-bagai alasan yang diberikan bagi menjawab isu tersebut.

Keadaan ini seolah-olah memberi gambaran kepada umum betapa berhati-hati dan teliti Taib pada pilihan raya kali ini untuk beliau membuat keputusan membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan persediaan maksimum dilakukan oleh jentera BN.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak yang juga Exco Pemuda Kebangsaan, Ahmad Nazib Johari menyifatkan tindakan Taib itu menunjukkan ketakutan dan mimpi ngeri di siang hari beliau (Taib) kalau tersilap langkah dengan keputusan beliau kali ini.

Bahkan kali ini kebanyakan kawasan DUN telahpun melancarkan bilik gerakan awal yang tidak pernah dilakukan sebelum ini termasuk di kawasan DUN Satok yang disandang oleh Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semenjak 20 tahun yg lalu.

“Ketakutan dan kegusaran Taib sehingga merayu serta menagih talian hayat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bersama-sama mengadakan pilihan raya serentak bagi membantu beliau dalam menghadapi balasan yang bakal dihadiahkan oleh rakyat pada PRN kali ini.

“Pilihan raya serentak pernah diadakan kali terakhir pada tahun 1974 dan hampir lebih 35 tahun tidak diadakan pilihan raya serentak.

Persoalannya kenapa baru sekarang Taib mahu mengadakan pilihan raya serentak?,” Nazib mengemukakan persoalan ini kepada wartawan FMT.

Jawapannya kata Najib telah dijelaskan sendiri oleh Taib ketika diwawancara RTM dengan menyatakan kalau pilihan raya serentak ‘general-general’ Pakatan Rakyat di Semenanjung tidak dapat membantu kempen pilihan raya di Sarawak sekaligus akan mencacatkan jentera mereka.

Pilihan raya serentak

Taib juga menyatakan dengan penuh rayuan dengan apa cara sekalipun PM kena buat pilihan raya serentak bagi membantu kemenangan PRN Sarawak akan datang.

Susulan rayuan itu, PM respon terpaksa akur dengan rayuan Taib Mahmud dengan tidak menafikan akan mengadakan pilihan raya serentak.

Sandiwara kedua-dua pemimpin ini menggambarkan betapa terdesaknya mereka bagi mengekalkan kekuasaan dan empayar jajahan mereka tanpa memikirkan kepentingan kestabilan ekonomi Malaysia dan keperluan undang-undang serta pembaziran mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang belum lagi tamat tempoh lima tahun.

Rakyat sekarang sudah cerdik menilai ketelusan dan kejujuran pemimpin-pemimpin ini yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.

Sepatutnya Taib kena kekalkan PRN Sarawak berasingan dengan PRU dan mengadakan PRN segera bagi membolehkan rakyat Sarawak membuat pilihan pimpinan baru dan menukar kerajaan baru serta tidak membazirkan bajet pilihan raya di peringkat persekutuan dalam keadaan ekonomi Malaysia bermasalah.

Ini kerana Najib juga mesti mengambil kira kenyataan persediaan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Ketua Polis Negara yang pernah mengeluarkan kenyataan mereka hanya bersedia menghadapi PRN Sarawak dan pilihan raya kecil (PRK) sahaja sekali gus mengambarkan pasukan penguat kuasa tidak bersedia untuk menghadapi PRU 13.

Lebih-lebih lagi SPR dan BN sekarang ini terpaksa menghabiskan banyak peruntukan wang bagi mengadakan PRK Tenang Ahad lalu, Pelabuhan Klang dan Merlimau yang sedang berjalan sekarang dan akan diadakan selepas ini.

Walau bagaimanapun, Pakatan Rakyat melahirkan keyakinan tidak gentar sekalipun pilihan raya akan diadakan serentak kerana itu juga menyukarkan kerajaan pusat menghantar bajet atau projek segera ke semua kawasan DUN di Sarawak seperti PRK Sibu pada bulan Mei 2010.

Dalam keadaan itu juga Najib pasti tidak sempat turun ke Sarawak sekerap yang boleh seperti di Sibu apabila Najib terpaksa terbang tiga kali ke sana untuk menabur janji RM5 juta kepada rakyat Sibu.

“Pakatan sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa kerana gerak kerja dan jentera telah dibentuk serta latihan sedang berjalan sekarang,” demikian kenyataan penuh yakin dan bersemangat dari Nazib yang bakal mencabar kerusi BN di DUN Satok pada pilihan raya terdekat ini.

Sementara itu, Pengerusi BN Pusat dalam ucapan perasmian Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 2011 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) baru-baru ini menegaskan parti komponen BN di Sarawak diminta mengemukakan calon yang hanya boleh memastikan kemenangan kepada kerajaan dalam pilihan raya kelak.

Calon boleh menang

Pemilihan calon yang hanya berdasarkan populariti dalam parti tidak akan mampu memikat hati atau persetujuan darinya jika calon berkenaan tidak menjamin kemenangan kepada parti kerana kurang mendapat sokongan rakyat.

“Tiada guna jika calon dikemukakan itu tua, tapi tak boleh menang. Apa guna juga jika mereka calon baru, yang muda jika tak boleh menang”

“Justeru, tolong berikan saya hanya calon boleh menang, diterima dan mendapat sokongan majoriti rakyat, bukan kerana mereka pilihan parti disebabkan kedudukan calon itu dalam parti.

SUPP adalah parti komponen BN kedua terbesar Sarawak yang menerima tamparan pada PRN Sarawak 2006 apabila tewas di lapan daripada 19 kerusi DUN yang ditandinginya.

Namun kehangatan isu pilihan raya beralih kepada perbualan hangat rakyat Sarawak mengenai perkahwinan Taib dengan wanita cantik dari Syria, Ragad Waleed Alkurdi yang membuka tirai sambutan 2011.

Majlis persandingan ala Inggeris itu tidak mungkin dilupa ramai apabila Taib kelihatan segak mengenakan tuksedo hitam manakala isterinya mengenakan gaun malam serba putih menyempurnakan upacara memotong kek setinggi lima tingkat.

Abdul Taib diijabkabulkan dengan Ragad yang berasal dari Syria pada 18 Disember lalu di kediamannya di Demak Bharu di sini sekali gus menamatkan zaman duda selepas kematian Puan Sri Laila Taib akibat kanser pada April lalu.

Duda kematian isteri, Laila yang dikahwininya pada 1959 dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Jamilah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman (Ahli Parlimen Kota Samarahan) dan Hanifah serta 15 cucu.

Apapun tiada siapa yang dapat menjawab sama ada perkahwinan kedua Taib turut dibawa bersama dalam kempen pilihan raya akan datang. Sama-sama kita tunggu.

14 ulasan:

azman berkata...

tunggu sajalah pemberitahuan rasmi bila pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan nanti.

azman berkata...

lakukanlah persediaan bagi menyediakan jentera yang mantap. pada masa yang sama tanggungjawab kepada rakyat juga perlu terus dilakukan.

Tanpa Nama berkata...

taib akan umumkan jg nnti piliharaya negeri Sarawak, beliau cuma ingin memilih waktu yang benar2 sesuai.

Unknown berkata...

Tunggu saja bila akan diadakan Pilihan raya itu..Jangan risau pasti akan dilaksanakan juga pilihan raya tersebut..

nickko berkata...

tidak semestinya pemimpin baru diwajibkan mengguna pakai sistem lama sedangkan ia boleh diubah malah mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga serta kekangan lain.

nickko berkata...

atau mungkin pembangkang semakin gentar kerana BN mempunyai peluang yang cerah serta banyak manfaat sekiranya pilihan raya negeri dan umum dijalakan secara serentak?? pilihan raya serentak sebenarnya memberi kebaikan kepada kedua2 belah pihak di peringkat persekutuan dan negeri, jadi tidak perlulah pembangkang mempertikaikan apa juga keputusan yang dibuat oleh Najib mahupun Taib.

Paquin berkata...

hhmm.. Sentiasalah bersedia. Tak perlu pening kepala fikir soal tarikhnya. hehe

Paquin berkata...

Apapun, kita tunggu dan lihat sajalah apa yang bakal berlaku nanti:)

mike berkata...

terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan tarikh pilihanraya...

mike berkata...

dijalankan serentak atau tidak belum dipastikan..

mike berkata...

tunggu dan lihat pengumuman rasmi diadakan..

Anak Sabah berkata...

Bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan raya.

Antanum berkata...

Jika dilakukan secara serentak lagi sesuai. Tidak lah Rakyat bersusah payah untuk keluar mengundi untuk kedua kalinya.

Antanum berkata...

Tapi bagi saya, awal dan serentak tidak akan mempengaruhi undian rakyat. Rakyat akan melihat kerja keseluruhan pemimpin sebelumnya untuk menilai mereka.