HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2011

NGO India terima keputusan pinda, tetap tolak sekolah guna Interlok

KUALA LUMPUR — Pasukan Tindakan Interlok, badan informal yang mewakili masyarakat India, menyambut baik keputusan Putrajaya untuk meminda novel Interlok, tetapi menegaskan Kementerian Pelajaran harus menggantikannya dengan novel lain yang sesuai.

Badan bertindak itu masih berpendapat Interlok tidak sesuai untuk digunakan sebagai buku teks di sekolah.

“Kami menyambut baik keputusan kerajaan, tetapi pada masa yang sama kami mahu Interlok ditarik balik daripada digunakan di sekolah.

“Novel itu boleh kekal dijual di kedai-kedai buku . . . kami berpendirian bahawa ia tidak harus digunakan di sekolah kerana kandungannya tidak sesuai sama sekali,” kata ketua badan bertindak itu, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim.

Beliau berkata, pihaknya tidak meminta novel itu diharamkan tetapi hanya berpandangan ia tidak sesuai digunakan sebagai buku teks sekolah.

Kata beliau, pihaknya berpendapat novel lain yang difikirkan sesuai perlu digunakan sebagai pengganti sementara panel yang dibentuk untuk mengkaji bahagian-bahagian sensitif menyempurnakan tugas mereka.

Ketika ditanya sama ada pihaknya bersetuju jika Interlok digunakan sebaik sahaja bahagian-bahagian sensitif dipinda, Thasleem berkata, “kami tidak tahu bahagian mana yang hendak dipinda”.

“Sementara mereka hendak pinda, kita cadangkan agar Interlok digantikan dengan novel yang lain,” katanya.

Pasukan Tindakan Interlok itu mengambil pendirian tersebut susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Pasukan Tindakan Interlok merupakan salah satu daripada beberapa pihak mewakili masyarakat India menggesa Kementerian Pelajaran menarik balik novel itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.

Bagaimanapun keputusan itu tidak dipersetujui oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang mahu Interlok dikekalkan tanpa membuat sebarang pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Menurut Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad, pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan dalam novel tersebut.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

Tiada ulasan: