HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2011

PAS bimbang Pemuda Umno akan buat kacau

'Ini maklumat yang kita dapat. Mereka mahu membuat perkara yang sama di Tenang.'


LABIS: PAS mendapat maklumat Pemuda Umno akan mencetuskan kekacauan mulai malam ini hingga tamat tempoh mengundi petang esok, dakwa Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

“Maklumat yang kita dapat samseng Pemuda Umno itu akan membuat kacau termasuk ‘menyerang’ pondok petugas PAS.

“Mereka mahu mengulangi budaya samseng yang mereka lakukan semasa pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, dua tahun lalu.

“Ini maklumat yang kita dapat. Mereka mahu membuat perkara yang sama di Tenang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pilihanraya kecil Tenang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohd Azahar Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dan Normala Sudirman dari PAS.

Esok adalah hari mengundi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad dalam sidang media harian di sini berkata, beliau bersama beberapa pimpinan PAS akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Shariff petang ini.

Katanya, pertemuan itu bertujuan untuk memastikan keselamatan pengundi esok dan menghindari kejadian yang tidak diingi.

Beliau juga mendakwa, petugas PAS tidak dibenarkan di dua tempat iaitu Ladang Labis Utama dan Ladang Bukit Datuk untuk berkempen.

Alasan yang diberikan oleh petugas kedua-dua ladang tersebut ialah la adalah arahan pengurusan ladang berkenaan.

Zulkifli berkata, apabila beliau menyuarakan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Johor, alasan yang diberikan ialah ladang berkenaan milik swasta.

Beliau berkata, Ladang Labis Utama adalah milik Sime Darby, manakala pemilik Ladang Bagan Datuk tidak dapat dikesan.

Ladang Labis Utama mempunyai kira-kira 30 pengundi, manakala Ladang Bagan Datuk seramai 300 pengundi.

Tiada ulasan: