KLANG– Muhamad Hairuman Miskon, 22, menangis sebaik diberitahu doktor pakar yang kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut bagi mengelak jangkitan kuman.
Sebelum ini, Muhamad yang melecur teruk akibat terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi telah dipotong tangannya sehingga ke siku.
Kakak mangsa, Maryuni, 32 berkata, Muhamad Hairuman dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapat nasihat pakar otopedik pada jam 12.15 tengah hari semalam.
“Setiba di HKL kira-kira jam 1.15 tengah hari (semalam), beberapa doktor pakar dan Pengarah HKL turut menyambut Hairuman sebelum membawa adik saya ke wad kecemasan untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Selepas hampir tiga jam, doktor pakar yang memeriksanya mengambil keputusan, kaki kiri Muhamad Hairuman terpaksa dipotong. Doktor memberitahu, adik saya akan menjalani pembedahan memotong kaki kirinya pagi esok (hari ini),” katanya dipetik daripada Berita Harian.
Maryuni berkata, sebaik mendengar keputusan itu, adiknya menangis tetapi akur dengan hakikat itu kerana tiada jalan lain bagi menyelamatkannya.
“Pada jam 12 tengah malam ini, dia diarahkan berpuasa sebelum ke bilik bedah. Dia kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, HKL,” katanya.
Muhamad Hairuman, pelajar kolej swasta di Kuala Selangor terkena renjatan ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang, pada 26 November tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan