LABIS: Peneroka Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang terutama Chempelak Barat antara tanah rancangan yang menerima Kadar Perahan Gred (KPG) paling rendah di negara ini, kata Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said.
“Kadar KPG Felda Chempelak sekitar 16 hingga 17 peratus. Jumlah yang sangat rendah berbanding tanah rancangan lain,” katanya kepada Keadilandaily.com selepas membuat tinjauan di Felda Chempelak, hari ini.
Berbanding dengan Felda Chempelak, Zabidie Abas, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) pula berkata, tanah rancangan kawasannya di Felda Bukit Besar, Kulai menerima KPG sehingga 21 peratus.
“Jauh betul perbezaan KPG antara tempat saya dengan Felda Chempelak iaitu sekitar lima, enam peratus walaupun Felda Chempelak adalah tanah rancangan terawal di Johor,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan peneroka DUN Tenang supaya lebih berani melakukan perubahan, dengan mencontohi keberanian peneroka Felda Bukit Besar yang membuat tuntutan dan desakan melalui kuasa undi.
“Peneroka Felda melalui Anak dan Biro Felda KEADILAN di kawasan kami sejak sekian lama membuat tuntutan kepada pengurusan Felda. Hasilnya, kadar KPG di tempat kami antara paling tinggi di negara ini.
“Jadi, inilah masanya untuk pengundi Felda Chempelak melakukan perubahan. Jika mereka bertindak secara isyarat melalui undi, sudah tentu pengurusan Felda akan memikirkan sesuatu dan membuat tindakan yang menguntungkan peneroka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan