LABIS - Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa MCA sengaja mahu membangkitkan isu negara Islam dan menyerang peribadi calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman dalam kempen pilihan raya kecil Tenang kerana mahu menutup kelemahan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menyamakan Umno dan MCA yang mana kedua-dua parti itu akan menghabiskan wang rakyat demi kepentingan sendiri.
“Umno dan MCA ini serupa sahaja, mereka nak tutup masalah yang besar (dalam parti), Presiden MCA (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) nak meghabiskan duit rakyat.
“Ini nak cakap soal salam, Dr Chua ini nak tutup kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), apa isunya? Calon kita (Normala) mempunyai kelayakan dan kita mahu dia bawa suara rakyat ke sidang DUN Johor bukan nak duduk untuk setuju semua.
“Yang kita mahu bawa masalah rakyat, bukan hanya masalah kenaikan harga barang tapi masalah lain juga,” kata Anwar ketika menyampaikan ceramah di Felda Chempelak Barat di sini malam tadi.
Sebelum ini, Dr Chua menegaskan akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.
Bekas menteri kesihatan itu berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.
Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calon PAS Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi lelaki.
Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.
Walaupun tidak mendapat sambutan ketika menyampaikan ceramah di kawasan itu, Anwar tetap bersemangat untuk memberikan maklumat dan informasi mengenai kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran BN yang diterajui Najib.
Ceramah tersebut bagaimanapun tidak dihadiri penduduk Felda Chempelak Barat tetapi dipenuhi penyokong Pakatan Rakyat.
“Kita nak bawa isu ekonomi itu yang pertama... makan minum, pelajaran, pekerjaan ini yang perlu diangkat.
“Wakil rakyat bukan wakil Menteri Besar tapi adalah untuk bawa masalah rakyat, kita Pakata Rakyat akan bantu setakat yang mampu kita buat,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pentadbiran BN yang tidak mengamalkan Islam menjadi punca utama berlakunya pelbagai masalah dan ketirisan dalam pentadbiran negara.
“Umno tolak Islam ambil kebangsaan, Umno tahu apa (pasal Islam) dan ia perkara pertama yang kita tentang. Apa yang Umno bawa selama ini yang kita bantah.
“Setiap manusia akan mati, lepas mati kita akan hidup semula... dalam Islam ada sebut. Tapi bila hidup semula, kita tidak balik ke kampung, Felda dan saya juga tidak balik ke Kelantan... kita hidup untuk jumpa Allah.
“Ini yang jadi masalah kepada Umno, bila Umno tolak Islam kita akan ketinggalan. Itu yang jadi masalah rasuah, curi, dadah dan sebagainya,” katanya.
Justeru Menteri Besar Kelantan itu meminta pengundi DUN Tenang agar memberikan sokongan penuh kepada Normala pada 30 Januari ini.
“Jangan undi BN, pangkah PAS, calon kita perempuan. Dia lagi pandai jaga anak daripada suami, dia pandai jaga anak dan rakyat.
“Umno bagi duit ambil, bagi gula ambil, bagi kain pakai, bagi lembu makan dan bagi kertas undi pangkah PAS,” katanya.
Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan